Festival Pertukaran Filem Malaysia-China fokus pengintegrasian Kecerdasan Buatan (Ai) dalam industri filem - Utusan Malaysia

Festival Pertukaran Filem Malaysia-China fokus pengintegrasian Kecerdasan Buatan (Ai) dalam industri filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Festival Filem Pertukaran Malaysia-China kini telah memasuki edisi yang ketiga dengan matlamat untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara menerusi filem dan budaya di samping mengetengahkan peranan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam industri perfileman.

Menurut Pengerusi Jawatan Penganjur, Aron Koh, festival yang memasuki tahun ketiga kali ini turut memberi perhatian terhadap perkembangan teknologi kecerdasan buatan dalam industri perfileman.

“Kita jangan takut AI. Kita perlu gunakan AI, bukannya AI yang gunakan kita.

“Kreativiti manusia akan kekal selama-lamanya. Cerita dan kandungan sentiasa menjadi perkara paling penting,” katanya.

Aaron berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Festival Filem Pertukaran Malaysia-China Ke-3 di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas mengenai penggunaan AI dalam penghasilan filem, Aron berkata, teknologi itu hanya berfungsi sebagai sokongan dan tidak mampu menggantikan emosi yang dibawa oleh penceritaan daripada manusia.

“Emosi datang daripada cerita. Cerita yang mudah pun boleh menyentuh hati penonton.

“AI boleh membantu dari segi teknologi dan mengurangkan kos produksi. Tetapi, karakter dan jalan cerita tetap datang daripada manusia,” ujarnya.

Sementara itu, festival tahun ini menampilkan tujuh filem pilihan dari kedua-dua negara yang merangkumi pelbagai genre termasuk thriller, komedi, animasi sains fiksyen, dokumentari sejarah dan aksi fantasi.

Filem Kungfu Juniors arahan pengarah Hong Kong, Ko Chi Sum, telah dipilih sebagai filem pembukaan yang dibintangi oleh Sammo Hung, Michelle Yim, Chu Mimi dan Peng Chiquan selain menampilkan pelakon Malaysia, Yuan Teng.

Untuk rekod, Festival Filem Pertukaran Malaysia-China Ke-3 berlangsung selama enam hari iaitu dari 26 hingga 28 Jun dan 3 hingga 5 Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN