Dink! I Love You satukan Arfie Shah dengan Anna Jobling, Aedy Ashraf - Utusan Malaysia

Dink! I Love You satukan Arfie Shah dengan Anna Jobling, Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di saat permainan pickleball semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat, pelakon, Arfie Shah mengakui tidak sangka dapat membintangi telefilem Dink! I Love You yang turut mengangkat sukan tersebut.

Menurut Arfie, penglibatannya dalam telefilem tersebut cukup istimewa apabila sukan yang diminatinya itu secara tidak langsung membuka peluang untuk dia membawakan watak pemain pickleball di skrin.

“Sejujurnya saya memang tidak pernah sangka sukan yang saya paling minat, iaitu pickleball, akhirnya membuka pintu kepada saya untuk melakonkan watak sebagai atlet pickleball.

“Pada mulanya saya hanya bermain untuk berseronok dan mengisi masa lapang, tetapi takdir membawa saya ke set penggambaran. Bila dikenang semula, semuanya berlaku dengan begitu pantas dan saya sangat bersyukur dengan peluang ini,” katanya.

Turut menampilkan pelakon Anna Jobling dan Aedy Ashraf, Arfie mengakui sangat mudah bekerjasama dengan mereka dalam naskhah arahan Boy Koci terbitan Motio Studio itu.

“Bekerjasama dengan Anna Jobling dan Aedy Ashraf adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Saya juga memang sudah lama berkawan dengan mereka. Jadi apabila dapat bekerjasama dengan rakan-rakan ini sangat seronok.

“Anna seorang yang sangat profesional dan mudah bekerjasama, manakala Aedy pula banyak berkongsi pengalaman serta memberi keyakinan kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap babak,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang penggambaran, Arfie yang memegang watak sebagai Ghazali itu mengakui sukar untuk berpura-pura tidak mahir bermain sukan kegemarannya itu.

“Sebagai seorang yang aktif bermain pickleball, agak sukar untuk saya untuk melakonkan babak seolah tidak reti bermain sukan itu. Watak Ghazali dalam naskhah ini seorang pelajar pintar yang tiada pengalaman langsung dalam sukan tersebut.

“Apa yang saya suka mengenai Ghazali ialah perjalanan persahabatannya dengan Diba. Watak Diba bukan sekadar rakan sepasukan, tetapi individu yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya.

“Bagi saya, Ghazali membawa mesej yang sangat dekat dengan kehidupan. Dia membuktikan seseorang tidak perlu mempunyai bakat sejak awal untuk berjaya. Dengan disiplin, usaha yang konsisten dan sokongan daripada orang di sekeliling, kita mampu berkembang menjadi versi diri yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya sentiasa berusaha menghasilkan kandungan yang dekat dengan perkembangan semasa selain memperkenalkan sesuatu yang baharu kepada penonton.

“Kalau sebelum ini saya pernah menghasilkan drama berunsurkan komedi romantik, percintaan, seram dan thriller, kali ini kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Pickleball sedang menjadi fenomena dan dimainkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Saya fikir inilah masa yang sesuai untuk mengangkat sukan ini dalam sebuah telefilem.

“Kalau badminton atau bola sepak sudah banyak dipaparkan dalam drama, mengapa tidak kita cuba sesuatu yang baharu? Harapan saya, telefilem ini bukan sahaja menghiburkan, malah dapat memperkenalkan lagi sukan pickleball kepada masyarakat,” katanya.

Telefilem Dink! I Love You yang sudah ditayangkan sejak 18 Jun lalu boleh distrim secara eksklusif menerusi aplikasi UTV.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN