PETALING JAYA: Penyanyi, Noraniza Idris mendedahkan dirinya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 7.4 kilogram (kg) selepas genap 22 hari melakukan pembedahan bariatrik.
Noraniza, 58, berkata, dari 87.7 kilogram (kg), beratnya berjaya turun ke 80.3 kg sekali gus membolehkannya menyarungkan kembali baju lama yang pernah dipakai enam tahun lalu.
“Hari ini genap 22 hari (buat bariatrik) dan saya berjaya turun 7.4 kg, berat asal saya dahulu 87.7 kg sekarang 80.3kg.
“Yang paling seronok hari ini saya boleh pakai semula baju-baju tahun 2020, dulu pakai sendat sekarang sudah selesa,” katanya menerusi perkongsian di Tik Tok.
Tegas menafikan prosedur tersebut dijalankan demi kecantikan, penyanyi yang digelar Ratu Pop Etnik itu mengakui pembedahan pada sistem pencernaan itu membantunya lebih sihat dan bertenaga.
“Bagi saya buat bariatrik ini bukan semata-mata nak kurus, itu satu bonus. Yang penting saya nak kembali sihat, lebih selesa bergerak, bertenaga dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Bariatrik bukan jalan pintas, ia adalah permulaan kepada gaya hidup yang lebih sihat,” ujarnya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Dikir Puteri itu mengakui fasa dijalani tidak semudah disangkakan apabila tetap perlu mengawal pengambilan makanan.
“Perjalanan ini memang memerlukan kesabaran serta berdisiplin terutama mengikuti jadual pemakanan daripada pakar,” katanya.
Menerusi ruangan komen ramai netizen memberikan pujian kepadanya malah masing-masing turut berkongsi pengalaman menurunkan berat badan.
“Saya kurangkan gula, kurang makan nasi. Alhamdulillah menjadi. Dari 67 kg dah hilang tujuh kg,” tulis seorang peminatnya.










