Artis popular bakal meriahkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 - Utusan Malaysia

Artis popular bakal meriahkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Barisan artis popular tanah air termasuk Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani bakal menghiburkan pengunjung pada malam kemuncak Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang akan berlangsung dari 16 hingga 21 Jun ini.

Selain persembahan artis-artis berkenaan pada malam kemuncak sambutan, festival itu turut menampilkan pelbagai persembahan artis jemputan lain sepanjang tempoh enam hari penganjurannya. Penyanyi Cherpen dijadualkan membuat persembahan pada 19 Jun, manakala Lan Solo bakal menghiburkan pengunjung pada 21 Jun. Kumpulan KOI dan Floor 88 pula antara nama yang akan turut memeriahkan festival berkenaan.

Penganjuran festival oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu diadakan bersempena ulang tahun ke-20 Petaling Jaya sebagai bandar raya sejak diisytiharkan pada 20 Jun 2006.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, sambutan tersebut bukan sekadar mengimbau sejarah perkembangan bandar raya itu, malah menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat serta memperbaharui komitmen ke arah masa depan yang lebih mampan, pintar dan berdaya tahan.

Menurut beliau, pelbagai program telah dirancang sepanjang enam hari sambutan yang merangkumi aspek pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan kebudayaan.

“Dua dekad ini menyaksikan transformasi Petaling Jaya hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh. Sambutan ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan bandar raya ini,” katanya ketika Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ.

Beliau berkata, MBPJ akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasakan komuniti serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.

Sepanjang dua dekad lalu, Petaling Jaya berkembang sebagai antara bandar raya utama negara yang berperanan sebagai pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan. Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi dan populasi seramai 807,879 penduduk setakat Januari 2024, bandar raya itu terus menjadi antara pemacu utama pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Selari dengan perkembangan tersebut, MBPJ melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, transformasi digital, pengurusan alam sekitar, mobiliti bandar dan pengukuhan daya tahan komuniti.

Antara pengiktirafan yang diterima ialah Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC) selain diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Sebanyak 11 program utama serta enam perkhidmatan percuma akan ditawarkan sepanjang sambutan tersebut.

Antara tarikan utama ialah PJ Learning City Festival 2026 yang menampilkan forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sesi perkongsian ilmu.

Selain itu, PJ Digital 2026 akan mengetengahkan pelbagai pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan bagi memperkukuh literasi digital masyarakat.

Aspek kelestarian turut diberikan perhatian menerusi pelbagai program alam sekitar termasuk Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta inisiatif ekonomi kitaran.

Festival itu juga bakal dimeriahkan dengan pelbagai program komuniti dan kebudayaan seperti festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, aktiviti keluarga, program kesihatan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics dan aktiviti untuk warga emas.

Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang bakal menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan serta pertunjukan bunga api sebagai simbolik dua dekad kecemerlangan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya maju dan sejahtera.

Sebagai tanda penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas sepanjang tempoh sambutan termasuk tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun ini serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN