ARTBAT bawa UPPERGROUND ke Genting Highlands 20 Jun ini - Utusan Malaysia

ARTBAT bawa UPPERGROUND ke Genting Highlands 20 Jun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Acara muzik elektronik berprestij, Sunset by NEON presents UPPERGROUND, bakal menggegarkan Genting Highlands pada 20 Jun 2026 dengan menampilkan barisan artis antarabangsa terkemuka yang dijangka menarik ribuan peminat muzik elektronik dari dalam dan luar negara.

Dianjurkan oleh Sunset by NEON, acara yang berlangsung selama satu malam itu akan menyaksikan kemunculan sulung konsep UPPERGROUND di Malaysia yang diterajui oleh duo terkenal dari Ukraine, ARTBAT.

ARTBAT yang dikenali menerusi karya-karya popular seperti Horizon, For A Feeling, Upperground dan Atlas merupakan antara nama paling berpengaruh dalam genre melodic techno di peringkat global. Mereka juga mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi remix lagu We Are The People nyanyian Empire of the Sun.

Sepanjang karier mereka, ARTBAT telah membuat persembahan di festival-festival muzik utama dunia termasuk Tomorrowland, Afterlife, Zamna, Ultra Music Festival dan Ushuaïa Ibiza.

Turut memeriahkan pentas pada malam berkenaan ialah DJ dan penerbit muzik terkenal kelahiran Belanda-Maghribi, R3HAB, yang merupakan antara artis muzik elektronik paling banyak distrim di dunia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, R3HAB turut mengembangkan pengaruhnya dalam genre melodic techno menerusi beberapa kolaborasi bersama ARTBAT termasuk lagu Flight Mode. Penampilannya di Genting Highlands juga menandakan kepulangan yang dinanti-nantikan oleh peminat tempatan selepas sekian lama.

Acara tersebut turut menyaksikan kemunculan pertama Chris Avantgarde di Malaysia. Penerbit muzik dari Jerman itu dikenali sebagai individu di sebalik lagu Consciousness bersama Anyma yang menjadi antara karya paling ikonik dalam pergerakan melodic techno masa kini.

Selain sering membuat persembahan di siri acara Afterlife dan festival-festival utama Eropah, Chris Avantgarde juga mempunyai kelompok peminat yang semakin berkembang di Asia menerusi hasil produksi bercirikan sinematik dan emosi yang mendalam.

Barisan artis antarabangsa itu akan turut disertai oleh PlastiK Funk dan 7SKIES yang terkenal dengan persembahan bertenaga tinggi serta karya muzik yang sering dimainkan oleh DJ terkemuka dunia.

Menurut pihak penganjur, penganjuran UPPERGROUND di Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha untuk membawa pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa yang sebelum ini lazimnya hanya dapat disaksikan di luar negara.

“Sejak awal lagi, Sunset by NEON sentiasa berhasrat untuk mencipta pengalaman yang luar biasa di Malaysia. Kami mahu membawa pengalaman yang biasanya perlu dicari di luar negara kepada penonton tempatan.

“Bagi menjayakan UPPERGROUND di Malaysia, kami bekerjasama rapat dengan pasukan UPPERGROUND dalam memastikan pengalaman yang ditawarkan benar-benar istimewa dan memenuhi jangkaan peminat,” menurut kenyataan penganjur.

Berlatarbelakangkan suasana sejuk dan nyaman di Genting Highlands, acara itu dijangka tampil dengan produksi bertaraf dunia yang menggabungkan visual berskala besar, sistem pencahayaan terselaras, reka bentuk bunyi sinematik serta elemen atmosfera yang menjadi identiti Sunset by NEON.

Dengan beberapa artis membuat penampilan sulung di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, Sunset by NEON presents UPPERGROUND 2026 dilihat berpotensi menjadi antara acara muzik elektronik paling besar dan paling dinanti-nantikan di rantau ini tahun depan.

Tiket untuk acara tersebut kini telah mula dijual menerusi laman sesawang rasmi penganjur di  www.sunsetbyneon.asia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN