KUALA LUMPUR: Selepas agak lama menyepi daripada tampil dengan karya solo baharu, penyanyi dan penulis lagu, ALVN kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Syarat Cinta.
Lagu ciptaan ALVN bersama MsOrangelisa itu mengetengahkan mesej mengenai cinta yang matang, tulus dan tidak bersandarkan kepada pelbagai syarat atau tuntutan.
Kemunculan karya tersebut turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang membuat pelbagai andaian, termasuk mengaitkan lagu itu dengan kehidupan peribadi penyanyi berkenaan yang didakwa sedang melalui fasa bahagia bersama seseorang yang istimewa.
Bagaimanapun, menurut ALVN, Syarat Cinta lahir daripada pemerhatiannya terhadap makna cinta yang semakin berubah apabila seseorang meningkat dewasa.
“Semakin kita dewasa, kita sedar cinta bukan lagi tentang perkara yang besar atau rumit. Kadang-kadang syarat cinta itu cuma satu, memilih orang yang sama setiap hari dan terus kekal bersama hingga ke penghujung usia,” katanya.
Dengan susunan melodi yang tenang serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, lagu berkenaan memperlihatkan sisi penulisan ALVN yang lebih matang selain mudah dihayati oleh pelbagai lapisan pendengar.

Dalam perkembangan sama, Syarat Cinta turut dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) drama Viu Original, Ate Kome, I Love You!, yang kini sedang menemui penonton.
Pemilihan lagu itu dilihat bersesuaian dengan jalan cerita drama berkenaan yang mengetengahkan elemen kasih sayang, hubungan kekeluargaan serta pencarian makna cinta sebenar.
Projek tersebut diterbitkan oleh MsOrange Solutions Creative dengan kerjasama Rhunut Music yang merangkumi penerbitan muzik dan video muzik sebagai sebuah projek kreatif menyeluruh, menggabungkan elemen muzik, visual serta penceritaan.
Turut mencuri perhatian ialah video muzik Syarat Cinta yang menjalani penggambaran di Kinokuniya Kuala Lumpur.

Lokasi itu dipilih bukan sekadar sebagai latar visual, sebaliknya menjadi sebahagian daripada naratif yang ingin disampaikan mengenai budaya membaca, kepentingan komunikasi yang ikhlas serta nilai meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Menerusi paparan visual yang dipenuhi elemen buku, nota dan tulisan tangan, video muzik tersebut menggambarkan bagaimana perasaan boleh disampaikan dengan cara yang sederhana namun penuh makna dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi.
Syarat Cinta kini boleh distrim di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi YouTube.










