Sebagai seorang bapa, pelawak dan pelakon popular, Achey mengakui dia sentiasa berusaha mencari aktiviti yang benar-benar mampu menarik minat anaknya, Nur Tiara Zinnirah Nasir.
Pelbagai sukan pernah diperkenalkan, namun tiada satu pun yang benar-benar berjaya menambat hati kanak-kanak berusia lapan tahun itu sehinggalah empunya badan sendiri mengemukakan keinginannya untuk bermain motocross.
Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, dia sendiri tidak pernah mempengaruhi puteri kesayangannya itu untuk menceburi sukan yang pernah menjadi kegemarannya suatu ketika dahulu.
“Tiara pernah masuk bola sepak perempuan tetapi dia tidak mahu sebab jurulatih suruh dia jadi penjaga gol. Dia mahu menjadi pemain dan menyepak bola.
“Dia juga pernah menceburi taekwondo tetapi minatnya juga tidak lama. Kemudian, saya biarkan dia cari minat sendiri sehinggalah satu hari dia beritahu dia mahu main motocross.
“Saya memang terkejut sebab saya sendiri tidak pernah suruh dia main motocross walaupun saya pernah aktif dalam sukan itu sejak remaja. Saya juga sudah tinggalkan sukan itu sejak empat tahun lalu,” katanya kepada Pancaindera.

Menurut Achey, permintaan Tiara untuk memiliki motosikal motocross membuatkan dia berasa gementar kerana mengetahui cabaran yang bakal dihadapi anaknya apabila berada di litar.
“Apabila dia minta saya belikan motocross, saya memang terkejut dan menggigil. Tiara dari umur tiga tahun dia sudah bawa e-bike. Dia pandai bawa e-bike sebelum pandai berbasikal. Mungkin daripada situlah timbul minat dia terhadap motocross.
“Namun, untuk mencari motocross yang bersesuaian dengan saiz badannya di pasaran Malaysia agak sukar. Mujur di China ada jual. Sekarang, dia sedang aktif menyertai pertandingan dalam kategori MX50 Rookie di peringkat negeri,” katanya lagi.
Bagi Achey, perkara paling membanggakan bukanlah kedudukan yang diraih oleh Tiara setiap kali perlumbaan, sebaliknya keberanian anaknya untuk bangkit apabila berdepan cabaran.
“Perlumbaan pertama dia, saya memang kagum. Daripada lebih kurang 15 peserta, dia dapat kelompok 10 terbaik tanpa terjatuh. Saya termenung selepas perlumbaan itu sebab dia boleh berdikari sendiri dalam trek tanpa sebarang bantuan.
“Saya selalu pesan pada dia, kalau jatuh kena bangun sendiri. Dalam perlumbaan kedua dia terjatuh sebab cuba tambah kelajuan, tetapi dia bangun semula dan teruskan perlumbaan.
“Setiap kali dia berlumba di litar saya pakai cermin mata hitam sebab saya tahu saya akan menangis. Dengan keadaan badan dia, dia perlu angkat motosikal sendiri. Saya bangga sebab dia melawan diri dia sendiri.Selama ini ramai orang bercakap tentang berat badan dia. Tetapi bagi saya, ini bukan soal kurus. Saya bangga sebab dia berani lawan kelemahan diri sendiri. Saya nampak dia lebih fokus dan lebih berdikari,” kongsinya.

Dalam masa sama, anggota kumpulan Bocey itu tidak menyangka penyertaan Tiara dalam motocross turut memberi impak kepada perkembangan sukan tersebut, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Kata Achey, ramai ibu bapa mula menunjukkan minat untuk mendaftarkan anak mereka selepas melihat keberanian Tiara beraksi di trek.
“Saya sendiri tidak sangka apabila pihak penganjur beritahu kategori Rookie yang sebelum ini kurang sambutan tiba-tiba penuh peserta. Ada seorang peserta perempuan bernama Amanda yang baru pertama kali masuk perlumbaan.
“Dia tidak mahu berlumba jika Tiara tidak berada di sebelahnya. Mungkin kerana Tiara idolanya. Pada saya, mungkin ramai ibu bapa salah faham dan anggap motocross ini terlalu ekstrem.
“Sedangkan untuk kategori Rookie, budak-budak ini hanya menunggang mengikut kemampuan mereka. Yang penting mereka belajar fokus, berdisiplin dan berani. Bila ibu bapa tengok sendiri, mereka sedar sukan ini tidaklah sebahaya yang disangka,” katanya.
Achey bagaimanapun menganggap penglibatan anaknya dalam sukan tersebut sebagai pendedahan yang berbaloi dan salah satu pencapaian yang membanggakannya sebagai seorang bapa.
“Saya tidak pergi perlumbaan untuk melihat dia menang. Saya cuma mahu dia ada sukan yang dia suka, yang buat dia melawan diri sendiri, belajar berdikari dan jadi lebih kuat. Kalau dia boleh terus bertahan dalam sukan ini, itu sudah cukup membanggakan saya sebagai seorang ayah,” ujarnya.










