10 tahun simpan Impian, Insomniacks buka tirai konsert 5SOS - Utusan Malaysia

10 tahun simpan Impian, Insomniacks buka tirai konsert 5SOS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penantian lebih sedekad kumpulan pop-rock tempatan, Insomniacks untuk berkongsi pentas dengan idola mereka, 5 Seconds of Summer (5SOS), akhirnya menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai artis pembuka tirai konsert kumpulan dari Australia itu di Malaysia.

Insomniacks bakal menghangatkan pentas konsert 5SOS yang dijadual berlangsung selama dua malam iaitu pada 17 November dan 4 Disember depan.

Menurut penganjur konsert, Sufi Rashid daripada SAH Entertainment, pemilihan Insomniacks dibuat berdasarkan keserasian identiti muzik, persembahan bertenaga serta hubungan rapat kumpulan itu dengan peminat.

Katanya, pengaruh 5SOS dalam perjalanan seni Insomniacks bukan lagi sesuatu yang asing memandangkan kumpulan tempatan itu pernah menghasilkan lagu cover seperti Broken Home dan Amnesia pada awal penubuhan mereka.

“Ramai peminat Insomniacks membesar dengan muzik 5SOS dan turut menjadi peminat kumpulan tersebut. Sebab itu hubungan antara kedua-duanya sangat organik dan istimewa buat peminat di Malaysia,” katanya.

Mengulas lagu 5SOS yang paling sesuai dirakam semula oleh Insomniacks, Sufi memilih Amnesia kerana karya tersebut mempunyai kaitan yang kuat dengan perjalanan awal kumpulan berkenaan.

Beliau turut mengakui cabaran utama menghasilkan lagu cover artis antarabangsa ialah memenuhi jangkaan peminat asal, terutama apabila melibatkan karya yang sudah popular di seluruh dunia.

“Dalam kes Insomniacks, mereka berjaya melaksanakan tugas itu dengan baik. Ramai masih mengingati bagaimana mereka mengidolakan 5SOS dan perkara itu mengukuhkan hubungan antara peminat kedua-dua kumpulan,” ujarnya.

Sufi turut percaya karya-karya cover yang pernah dihasilkan Insomniacks mampu menjadi platform untuk memperkenalkan muzik mereka kepada khalayak yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

Menyentuh mengenai kemungkinan kolaborasi antara Insomniacks dan 5SOS pada masa depan, beliau optimis peluang tersebut mampu direalisasikan berdasarkan keserasian muzik kedua-dua kumpulan.

“Insomniacks mempunyai kemampuan untuk berdiri sebaris dengan 5SOS. Mereka berbakat, merendah diri dan mempunyai identiti tersendiri yang boleh membawa mereka lebih jauh dalam industri muzik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan kumpulan tempatan yang menjadikan artis antarabangsa sebagai inspirasi supaya tidak mengabaikan keaslian karya sendiri.

“Tidak salah mengambil inspirasi daripada artis luar, tetapi jangan sampai kehilangan identiti. Keaslian itulah yang akan membezakan seseorang artis daripada yang lain,” katanya.

Peluang membuka tirai konsert 5SOS itu disifatkan sebagai pencapaian terbesar Insomniacks setakat ini, sekali gus menjadi simbol perjalanan 10 tahun mereka daripada sekadar peminat kepada artis yang bakal berkongsi pentas dengan kumpulan yang menjadi sumber inspirasi utama mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN