Takdir Akhir: Last Dive angkat isu kemusnahan marin, keterjaminan makanan - Utusan Malaysia

Takdir Akhir: Last Dive angkat isu kemusnahan marin, keterjaminan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu kemusnahan ekosistem marin dan ancaman terhadap keterjaminan makanan menjadi inti pati utama yang diketengahkan menerusi filem Takdir Akhir: Last Dive, sebuah naskhah bergenre doku-filem yang kini mencuri perhatian kerana mesej konservasi laut yang sarat dengan nilai kesedaran.

Filem terbitan Produksi Seni 2020 itu berjaya menzahirkan kepentingan pemeliharaan terumbu karang bukan sahaja sebagai khazanah dasar laut, malah sumber utama pembiakan ikan komersial yang menjadi bekalan makanan harian masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Azahari Othman berkata, filem berkenaan memberi gambaran jelas mengenai kepentingan usaha pemuliharaan hidupan marin selain memuji komitmen pasukan produksi dalam menyampaikan mesej berkenaan kepada masyarakat.

Beliau yang hadir pada pratonton khas filem itu berkata, antara babak paling memberi kesan kepada penonton ialah paparan aktiviti pengeboman ikan yang masih berlaku di beberapa kawasan perairan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa ratusan tahun untuk pulih, malah menyebabkan ikan mati sia-sia dan menjejaskan kualitinya.

“Selain itu, filem ini turut mengetengahkan ancaman ‘ghost net’ atau pukat hantu yang menjadi perangkap maut kepada pelbagai hidupan laut di kawasan terumbu karang.

“Isu pukat hantu ini sangat serius kerana menyebabkan banyak hidupan marin mati begitu sahaja. Sebab itu, usaha membuang pukat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat komersial amat digalakkan demi menyelamatkan khazanah laut negara,” katanya.

Menurut beliau, filem itu turut menyelitkan mesej kuat mengenai pencemaran plastik di kawasan pesisir pantai yang semakin membimbangkan.

“Pelancong perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membuang sampah ke laut kerana ia memberi kesan besar kepada kehidupan marin.

“Penyu misalnya sering menyangka plastik sebagai obor-obor. Apabila dimakan, plastik itu akan tersekat dalam sistem pencernaan dan akhirnya menyebabkan kematian haiwan berkenaan,” ujarnya.

Azahari turut menyifatkan filem berkenaan berjaya mengekalkan elemen suspens dan keterujaan penonton dari awal hingga penghujung cerita, sekali gus sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Turut hadir pada tayangan khas itu ialah Penerbit Eksekutif, Datin Dr. Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo, selain penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan.

Beberapa pensyarah universiti serta penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) turut memeriahkan acara tersebut.

Takdir Akhir: Last Dive menampilkan barisan pelakon seperti Shiqin Kamal, Aniq Dura, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim yang juga bekas Miss Universe Malaysia.

Filem itu turut menampilkan kemunculan istimewa Datuk Dr. Ras Adiba Mohd. Radzi serta penyanyi terkenal, Fauziah Latiff dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN