PETALING JAYA: Pelakon versatil, Nabila Huda meluahkan pandangan jujur tentang realiti kehidupan dalam era media sosial yang disifatkannya semakin dipenuhi dengan kebencian dan sikap saling menghakimi.
Menurut Nabila, pengalaman hidup terutama trauma yang dilalui sejak kecil banyak membentuk cara dirinya melihat dunia hari ini.
“Dalam era media sosial ini, ramai yang makin ‘sakit’. Terlalu banyak kebencian. Saya selalu tertanya-tanya bagaimana anda dibesarkan? Sebab bagi saya, trauma zaman kecil mengajar sesuatu yang berbeza,” katanya di Threads
Tambah Nabila, setiap individu seharusnya lebih berhati-hati sebelum menilai kehidupan orang lain kerana setiap orang melalui perjalanan yang berbeza, selain tidak dapat menjangka apa sahaja kemungkinan yang mendatang dalam kehidupan.
“Jangan pernah menghakimi, jangan sibuk mencari salah orang, dan jangan cuba membetulkan hidup orang lain. Kita tidak pernah tahu apa yang hidup akan hidangkan pada kita nanti. Jadi bersedialah,” ujarnya.
Mengakui telah melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, Nabila berkata segala pengalaman itu menjadikan dirinya lebih matang dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan negatif.
“Saya? Saya sudah lalui semuanya. Sudah buat semuanya. Sudah rasa semuanya. Sebab itu saya tak hiraukan segala gangguan yang datang.
“Anda tidak ada dalam perjalanan hidup saya. Saya akan terus melangkah untuk meneroka pelbagai sisi diri, dan mengejar impian,” ujarnya.










