PETALING JAYA: Pelakon, Nabila Huda kesal dengan tindakan segelintir pihak yang tidak henti-henti mencari kesalahan serta meninggalkan komen berbaur kecaman ketika menjual produk sos pasta keluarannya secara jelajah.
Kata Nabila, meskipun tidak begitu serius untuk menjual produk tersebut, dia telah meletakkan 100 peratus komitmen serta tenaganya demi menggembirakan peminat yang teringin untuk rasa air tangannya.
“Perniagaan ini bukanlah perniagaan yang bersar. Bukan juga restoran atau pun pesta makan. Bukan syarikat yang serius yang memiliki pasukan produksi yang besar, tukang masak dan puluhan staf.
“Ini hanya sekadar masakan rumah yang saya masak dan kongsikan kepada mereka yang mahu rasa masakan saya. Jelajah ini pun sejujurnya bukan niat utama untuk ‘buat duit’.
“Saya buat secara suka-suka dan ikhlas dari hati saya sebab saya nak berjalan dan jumpa penyokong saya dan beri mereka rasa masakan saya sendiri,” katanya di Threads.
Tambah Nabila, setiap kali jelajah ke destinasi terpilih, dia hanya menyediakan makanan dengan jumlah yang terhad, selain perlu mempertimbangkan kos perbelanjaan dari segi minyak, penginapan, sewa kenderaan dan sebagainya.
Namun, pelakon drama Dari Rahim Yang Sama itu kesal apa cara pemakaiannya turut menjadi pertikaian bagi sesetengah pihak yang kurang senang dengan penampilannya.
“Tidak perlulah saya beritahu semua perkara. Saya buat sebab saya gembira tengok orang datang sokong, datang makan dan borak. Yang peliknya kenapa ramai sangat mahu cari salah? Sampai pemakaian pun jadi isu.
“Saya bukan buka restoran mewah pun. Saya cuma buat gerai kecil, masak sendiri, memandu sendiri tak jangka langsung orang sokong seramai ini. Yang kecam ini fikir saya pakai jubah ke bagaimana? Kalian mahu apa ini sebenarnya?
“Kadang sedih juga bila benda yang dibuat dengan ikhlas and seronok-seronok bertukar jadi benda orang nak kecam semua perkara. Saya tidak kacau hidup orang pun. Tak faham kenapa ada yang mata merah sangat tengok kita nak gembirakan penyokong saya,” luahnya.
Mengakui dirinya bukanlah seorang yang hipokrit, aktres versatil itu turut menasihatkan kepada segelintir netizen agar berhenti mengambil tahu tentang dirinya dan membuang perasan iri hati.
“Saya bukan seorang yang hipokrit. Perlu pura-pura nampak baik, sopan, lemah lembut konon untuk buat orang sayang dan puji. Kalau kau tidak suka, jangan ambil tahu. Ini buat muka tidak tahu malu nak tengok, lepas itu buruk-burukkan orang.
Apa punya perangai lah manusia macam ni. Buanglah perasaan cemburu itu. Setiap orang ada rezeki masing-masing. Masa awak akan tiba tidak lama lagi. Cuma agaknya lambatlah sikit sebab perangai busuk hati itulah lambat rezeki nak masuk sebenarnya,” tegasnya.
Susulan itu, Nabila turut menyatakan dirinya enggan meneruskan perniagaannya secara jelajah itu memandangkan usaha kecilnya tidak dihargai dan menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dari orang ramai.










