Nourul Depp rakam semula lagu ciptaan Yasin Sulaiman - Utusan Malaysia

Nourul Depp rakam semula lagu ciptaan Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Depp bakal mengubat kerinduan peminat menerusi konsert solo sulungnya, For You Nourul yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.

Konsert anjuran ND Entertainment itu dijangka menjadi pentas penuh nostalgia apabila penyanyi kelahiran Pulau Pinang berkenaan kembali menyapa peminat selepas sekian lama menyepi daripada dunia persembahan pentas.

Lebih istimewa, konsert tersebut turut menjadi medan eksklusif buat Nourul mempersembahkan lagu rakaman semula berjudul Andai Ku Kenali Ku, karya ciptaan Yasin Sulaiman dengan lirik nukilan bekas isterinya, Eena Houzyama sekitar tahun 2008 hingga 2009.

Menurut Nourul, lagu berkenaan cukup dekat dengan perjalanan hidupnya sebagai anak seni yang pernah melalui pelbagai episod jatuh bangun sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam industri hiburan.

“Selepas sekian lama membawa diri dan memberi ruang kepada keluarga serta kehidupan peribadi, saya kembali kepada muzik dengan jiwa yang lebih tenang dan matang.

“Kadang-kadang kita perlu hilang seketika untuk benar-benar mengenali diri sendiri. Lagu ini bukan sekadar tentang kesedihan, tetapi keberanian menerima luka, bangkit dan berdamai dengan diri,” katanya penuh emosi.

Tambah penyanyi berusia 48 tahun itu, Andai Ku Kenali Ku juga menjadi simbol kepulangannya ke dunia muzik, bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya kerana muzik sentiasa menjadi medium terbaik untuk beliau meluahkan rasa hati.

Katanya, lagu tersebut diberi nafas baharu menerusi susunan muzik oleh pengarah muzik konsert, Eddie Slam sebagai penghargaan khas buat peminat setia.

“Pada malam For You Nourul, saya mahu memperkenalkan diri saya yang sebenar kepada peminat lama dan baharu. Lagu ini sangat signifikan kerana ia menggambarkan siapa saya hari ini,” ujarnya.

Single Andai Ku Kenali Ku mula dilancarkan di saluran YouTube rasmi Nourul Depp bermula 13 Mei 2026 pada pukul 9 malam, manakala versi audio turut diputarkan secara eksklusif di Kool FM pada hari sama pukul 9 pagi.

Menurut Nourul, video muzik rasmi lagu berkenaan pula bakal dirakam secara langsung ketika konsert berlangsung bagi mengabadikan momen bersama peminat.

“Saya mahu For You Nourul menjadi momen paling bermakna sepanjang perjalanan seni saya,” katanya.

Konsert solo sulung itu turut menampilkan Mimifly sebagai artis undangan dan dijadual bermula pukul 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM198 hingga RM388, manakala VIP Box ditawarkan pada harga RM6,000 menerusi Ticket2U.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN