Lebih baik kahwin lambat daripada berkahwin dengan orang yang salah - Siti Khadijah - Utusan Malaysia

Lebih baik kahwin lambat daripada berkahwin dengan orang yang salah – Siti Khadijah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Siti Khadijah mengakui dirinya sangat berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

Menurut Siti, dia sentiasa mengimpikan pasangan yang memiliki tanggungjawab dan menjadi pelengkap hidupnya meskipun sukar untuk mencari pasangan yang sama prinsip hidup dengannya.

“Saya mahukan lelaki yang bertanggungjawab. Tanggungjawab ini ada pelbagai. Sekecil-kecil dia cuci pinggan yang dia makan, angkat tuala selepas mandi pun tanggungjawab dia sendiri.

“Kalau itu pun dia tidak boleh buat, dia tidak bersedia untuk berumah tangga. Pada saya, saya mahu mencari pasangan yang sama seperti saya. Kalau saya tidak jumpa dengan orang yang sebegitu, saya rasa susah,” katanya menerusi sebuah audio siar.

Siti turut menganggap setiap perhubungan itu memerlukan dua individu yang saling melengkapi tanpa perlu mengubah cara kehidupan yang sedia ada.

“Apabila kita bercinta dengan seseorang, dan dia memang 100 peratus lain dengan kita, kita akan buang masa antara satu sama lain untuk ikut apa yang kita mahukan.

“Sedangkan dia adalah ‘puzzle’ orang lain. Saya mahu mencari puzzle yang melengkapkan puzzle saya. Daripada saya ubah dia untuk diri saya, lebih baik dia pergi dekat orang lain yang sesuai dengan dia,” kongsinya.

Tambah pelakon drama From Saga With Love itu, dia lebih rela menangguhkan hasrat untuk berumah tangga kerana enggan membuang masa untuk menyulam cinta dengan orang yang salah.

“Daripada kita membuang masa untuk mencuba, lebih baik dia cari orang yang tepat. Sayang boleh cuba dan cari. Orang yang tepat itu susah.

“Jadi lebih baik saya kahwin lambat daripada berkahwin dengan orang yang salah. Saya pun hanya nak kahwin sekali sahaja. Tiada siapa hendak berkahwin banyak kali. Penat,” jelasnya.

Pun begitu, Siti mengakui dia pernah berhasrat untuk mengakhiri zaman bujangnya pada usia muda dan menikmati fasa kehidupan bersama keluarga tersayang.

“Jika boleh putar balik masa, saya mahu berkahwin awal. Anak-anak saya mungkin sekarang ini sudah besar dan kami boleh luangkan masa bersama.

“Tetapi kalau kehidupan saya begitu, saya mungkin tiada di sini. Saya tahu apa yang berlaku dalam hidup saya ada sebabnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN