Dua minggu baru saya boleh kembali menjadi diri sendiri - Trisha Ooi - Utusan Malaysia

Dua minggu baru saya boleh kembali menjadi diri sendiri – Trisha Ooi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Trisha Ooi mengakui dia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk kembali kepada dirinya yang asal selepas tamat penggambaran filem Nar’sata: Sekutu Setan.

Menurut Trisha atau Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, watak Balqis yang dibawakan dalam filem tersebut memberi kesan emosi yang sangat mendalam terhadap dirinya sehingga sukar untuk melepaskan watak berkenaan sebaik sahaja tamat penggambaran.

“Memainkan watak Balqis ini memberi kesan yang sangat mendalam sampaikan saya boleh menangis sendiri.

“Dua minggu baru saya boleh kembali kepada diri saya sendiri” katanya ketika ditemui dalam Malam Gala Filem Nar’sata: Sekutu Setan, pada malam selasa.

Mengulas lanjut mengenai tempoh dua minggu tersebut, emosi watak tersebut turut memberi kesan terhadap kehidupan hariannya selepas tamat penggambaran.

Ujarnya, perkara itu hanya mula disedari selepas ditegur oleh pengurusnya yang melihat dia seakan-akan hilang semangat dan enggan bersosial seperti biasa.

“Saya tak boleh berborak dengan orang seperti biasa. Benda ini saya tak perasaan sebenarnya, yang perasan adalah pengurus saya,” jelasnya.

Tambah Trisha, pengurusnya mempersoalkan mengapa dia tidak lagi aktif keluar rumah atau berkongsi perkembangan di media sosial.

“Pengurus saya tegur kenapa tidak ada apa-apa perkembangan dan kenapa tidak keluar dari rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan tersebut hanya berlaku dalam tempoh kira-kira dua minggu sebelum dirinya kembali seperti biasa dan keluar daripada watak Balqis tersebut.

“Selepas sedar, barulah saya cuba untuk pergi makan luar dan sebagainya, tidak duduk berseorangan di rumah,” katanya.

Selain Trisha, filem Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Khatijah Tan, dan Aniq Suhair yang mula ditayangkan di pawagam bermula 21 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN