Bila kita bukan sesiapa, orang cuba pijak dan ambil kesempatan - Zara Zya - Utusan Malaysia

Bila kita bukan sesiapa, orang cuba pijak dan ambil kesempatan – Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya tampil berkongsi sisi gelap yang pernah dilaluinya sewaktu awal pembabitan dalam industri hiburan.

Menurut Zara, dia pernah menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya ketika menghadiri sesi ujibakat.

“Awal-awal dulu apabila pergi ujibakat, kadang-kadang saya pergi sendiri. Kalau bawa ibu, saya akan ditolak. Mereka ingat saya pergi set penggambaran bawa ibu.

“Kenapa? Sebab niat mereka tak elok. Kalau saya bawa ibu, macam mana mereka mahu buat benda bukan-bukan pada saya,” katanya dalam sebuah sesi temubual.

Dalam masa sama, Zara mendakwa seorang penerbit juga pernah berbuat demikian kepadanya kononnya mahu menawarkan untuk membintangi sebuah drama.

“Saya sentiasa percayakan orang. Orang itu, kita dah pernah jumpa beberapa kali. Dia seorang penerbit dulu, mula-mula kata mahu bincang pasal kerja, skrip pun sudah ada. Tetapi dia ajak ke tempat karaoke bukan tempat untuk bermesyuarat.

“Tetapi saya pergi juga dengan kawan saya. Dia suruh kawan saya keluar dan minta saya buka baju. Saya terus cari alasan untuk keluar dari situ dan tak kembali semula.

“Selepas itu dia cuba cari saya tetapi saya terus sekat nombor dia. Sekarang saya tidak tahu tentang dia. Ramai orang yang buat saya begini sekarang tidak ke mana,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon drama Sumpah Ibuku tersebut juga mendedahkan pernah dikhianati oleh seorang rakan artis kononnya mahu menghadiri sebuah acara di hotel yang turut dihadiri lelaki kenamaan di lokasi berkenaan.

“Saya ingatkan sekadar makan-makan biasa. Saya terkejut apabila ada lelaki-lelaki VVIP yang menunggu untuk bawa masuk ke bilik. Situasi itu memang menakutkan.

“Lama juga saya cuba mengelak. Sampai saya terfikir kenapa dia buat begini terhadap saya? Memang saya perlukan duit waktu itu, tapi saya tidak buat benda sebegitu. Jatuh bangun pun, saya masih dengan cara yang baik.

“Saya tak mahu tetapi mereka juga tak mahu hantar saya keluar. Lama juga saya cuba lepaskan diri. Situasi itu memang menakutkan,” kongsinya.

Zara berkata, pengalaman tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati selain berharap golongan baharu dalam industri tidak terlalu mudah mempercayai sesiapa.

“Jangan jadi terlalu naif macam saya dulu. Ramai ambil kesempatan sampai banyak masa saya terbuang. Kalau niat tak baik, jangan janji bulan dan bintang. Cakap terus terang.

“Dulu bila kita bukan siapa-siapa, orang cuba pijak dan ambil kesempatan. Tapi bila berada di tahap sekarang, orang lebih berhati-hati dan hormat kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN