Bayaran kecil pun ambil masa berbulan dilunaskan - Atilia Haron - Utusan Malaysia

Bayaran kecil pun ambil masa berbulan dilunaskan – Atilia Haron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Atilia Haron berharap pengurusan kelab malam melunaskan bayaran persembahan penyanyi dan pemuzik mengikut waktu ditetapkan selepas mendakwa masih ada yang mengambil masa sehingga tiga bulan untuk membuat pembayaran.

Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, berkata, situasi tersebut memberi kesan terutama kepada pemuzik yang bergantung sepenuhnya kepada persembahan kelab malam sebagai sumber pendapatan utama.

“Kadang-kadang kelab ambil masa sampai tiga bulan untuk bayar. Saya memang tidak faham kenapa proses itu jadi terlalu lama sedangkan bayaran pelanggan diterima terus pada malam tersebut.

“Bagi saya, walaupun jumlah bayaran itu kecil, bayarlah dahulu sebab ramai pemuzik bergantung kepada duit itu untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam Program Rise and Revive di IWK Eco Park, semalam.

Tambah Atilia, kadar bayaran penyanyi dan pemuzik kelab malam juga masih berada pada tahap yang sama sejak dahulu lagi meskipun mereka perlu membuat persembahan dalam tempoh yang panjang.

“Daripada dulu sampai sekarang, bayaran penyanyi kelab dan pemuzik masih sekitar RM200 ke RM300 sahaja walaupun kami menyanyikan banyak lagu dalam satu malam.

“Kadang-kadang satu malam kami perlu buat dua set persembahan dan menyanyi lebih 10 lagu. Ibu saya dulu pula menyanyi di tiga kelab dalam satu malam sampai hampir 60 lagu.

“Bayaran itu bukan untuk penyanyi sahaja sebab kami perlu bahagi dengan ahli band. Apa yang penonton bayar menerusi tiket masuk itulah yang digunakan untuk bayar kami semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Atilia mengakui dia masih mempunyai sumber pendapatan lain seperti persembahan korporat dan kelas yoga, namun berasa simpati terhadap nasib pemuzik sepenuh masa yang hanya bergantung kepada persembahan kelab malam.

“Saya masih ada kerja lain, tetapi kasihan kepada pemuzik dan band sebab itu sumber rezeki utama mereka. Sebab itu saya harap pengurusan kelab malam boleh ubah cara pembayaran dan lebih menghargai penggiat muzik,” katanya.

Terdahulu, Atilia meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang melakukan pembayaran lewat kepada pemuzik dalam industri hiburan tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN