PETALING JAYA: Pelakon, Shaheizy Sam mendedahkan dirinya mengalami kecederaan pada bahagian lutut ketika menjalani penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir.
Menurut Sam, meskipun berdepan dengan kecederaan tersebut, dia tetap bersikap profesional dan meneruskan komitmen lakonannya demi memastikan proses penggambaran selesai mengikut jadual yang ditetapkan.
“Hasil keputusan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), kedua-dua lutut saya, sebelah kiri dan kanan cedera akibat ototnya terkoyak. Kecederaan tersebut berlaku tiga hari selepas penggambaran bermula.
“Jadi sepanjang penggambaran filem ini sebenarnya saya berada dalam keadaan cedera. Sehingga hari ini rasa sakit itu masih ada. Tetapi apabila waktu rehat, saya memang jaga betul-betul sebab kita tahu badan ini masih perlu digunakan untuk bekerja.
“Saya banyak gunakan rawatan seperti ‘hot pack’ dan cuba menjaga bahagian cedera itu sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di set penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir, semalam.
Tambah pelakon filem Polis Evo itu, kecederaan dialami berpunca daripada kurangnya persediaan fizikal berbanding kebiasaan yang sering dilakukan sebelum terlibat dalam naskhah aksi.
“Kebiasaannya kalau filem aksi, sebelum proses penggambaran mula saya akan buat persediaan awal seperti pergi gimnasium dan melakukan latihan kecergasan.
“Tetapi untuk filem ini, saya merasakan skrip tidak memerlukan pergerakan fizikal seperti itu. Jadi saya tidak membuat persiapan seperti biasa.
“Mungkin kerana badan terkejut dengan tuntutan penggambaran, itu yang menyebabkan kecederaan berlaku,” ujarnya.
Sam bagaimanapun memaklumkan usai penggambaran filem tersebut dia bakal menjalani rawatan, selain akan bercuti panjang untuk tempoh pemulihan.
“Ada masa saya mengambil ubat tahan sakit, terutama apabila rasa sakit itu semakin berat. Tetapi apabila sudah menjadi tanggungjawab, kita teruskan juga.
“Selepas penggambaran ini saya akan menjalani rawatan yang sepatutnya seperti fisioterapi dan mungkin akan bercuti panjang untuk fokus pada tempoh pemulihan.
“Kalau ada tawaran filem selepas ini, mungkin saya tidak akan ambil watak yang terlalu banyak menggunakan fizikal dan akan memilih karakter yang sedikit berbeza,” kongsinya.










