RAMADAN lepas mempertemukan saya dengan penyanyi terkenal era 80-an, Zur Eda. Pertemuan itu adalah yang kedua, selepas dua tahun lalu dalam bulan yang sama.
Zur Eda atau Zuraidah Mokhtar mudah mesra dan suka melawak jenaka. Pertemuan kami sempena sidang media Konsert Ijmal Ramadan lepas terisi dengan gelak ketawa.
Dalam sesi wawancara yang berkonsepkan borak santai, Zur Eda bercerita mengenai kisah hidup dan fasa-fasa mencabar.
Penyanyi yang terkenal dengan julukan Sade Malaysia itu sudah cukup kuat semangatnya untuk bercerita perihal kehilangan anak ketiganya, Siti Aisyah yang meninggal dunia ketika dalam kandungan pada Ogos 1999.
Kata Zur Eda, dalam banyak fasa mencabar hidupnya, itulah titik paling rendah sepanjang usianya.
“Ketika itu berlaku komplikasi terhadap kandungan saya. Nyawa di hujung tanduk kerana doktor beri pilihan, sama ada anak yang diselamatkan atau pun saya.
“Masa itu saya minta doktor selamatkan nyawa anak dalam kandungan, saya tidak kisah kalau saya yang mati
“Bermati-matian saya menentang keputusan suami kerana memilih untuk melepaskan anak itu pergi.
“Akhirnya, atas sebab masa itu saya ada dua anak yang memerlukan saya, doktor dan suami saya ambil keputusan untuk selamatkan nyawa saya,” ceritanya.

Kemurungan kronik
Kejadian itu membuatkan Zur Eda menghadapi masalah kemurungan kronik dan mengambil masa yang cukup lama untuk pulih sedia kala.
“Kemurungan yang saya hadapi terlalu teruk. Saya ketika itu tidak boleh melihat barang-barang bayi, emosi akan teruk terganggu kalau dengar suara atau cerita tentang bayi.
“Saya menyalahkan suami kerana membiarkan saya hidup, dan paling teruk ketika itu saya menyalahkan Allah kerana mendatangkan ujian itu ke atas diri saya.
“Saya berperang dengan masalah itu kira-kira selama lebih satu tahun. Sehinggalah saya bermimpi didatangi seorang lelaki tua bersama seorang kanak-kanak kecil yang bermain-main sambil tersenyum kepada saya, selepas itu kanak-kanak itu pergi bersama lelaki tua itu.
“Lama kelamaan saya belajar erti reda. Saya bertaubat kerana sebelum itu menyalahkan Tuhan. Akhirnya saya mampu berdamai dengan takdir dan menerima qada dan qadar,” ujarnya lagi.

Koma, ditidurkan lebih sebulan
Zur Eda sekali lagi berdepan ujian hidup apabila disahkan mengalami penyakit batu karang dalam buah pinggang yang nyaris meragut nyawanya.
Pengalaman itu membuatkan dia hari ini bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan yang baik.
“Saya mengalami koma selama dua minggu disebabkan penyakit itu yang mengakibatkan komplikasi terhadap buah pinggang saya.
“Masa itu ada yang salah faham, menyangka saya mengalami penyakit buah pinggang padahal hanya terdapat batu karang pada organ tersebut.
“Selepas dua minggu koma, saya sedarkan diri. Namun kemudian terpaksa ditidurkan semula selama lebih satu bulan kerana tubuh saya masih terlalu lemah.
“Selepas itu barulah saya sedarkan diri sepenuhnya. Saya akui selepas itu menanggung kesakitan yang cukup berat waktu itu sehinggakan hampir setiap hari bergantung kepada ubat tahan sakit.
“Kejadian itu mengajar saya erti syukur apabila diberi kesihatan. Saya berterima kasih kepada Allah kerana hari ini masih sihat dan mampu meneruskan kehidupan,” kongsinya kagi.

Dikata bodoh kerana kahwin awal
Zur Eda menamatkan zaman bujang pada usia 20 tahun dengan suaminya, Zulkifli Mohd. Yusoff. Perkahwinan mereka kini memasuki usia 41 tahun.
Berkahwin pada usia muda adalah atas kehendaknya sendiri dengan niat untuk meredakan kerisauan orang tua terhadap penyanyi ini yang ketika di usia itu sudah menyanyi di kelab malam.
“Ibu bapa saya risau. Saya masa itu anak dara yang pulang pukul 2 hingga 3 pagi kerana bekerja sebagai penyanyi di kelab malam.
“Mak ayah ini takut anaknya terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Kerana itu mereka risau. Tapi Alhamdulillah waktu itu juga saya bertemu jodoh. Suami saya kebetulan anak warga pendidik.
“Ketika saya bergelar artis rakaman, ada pihak yang kata saya ini bodoh kerana berkahwin muda. Mereka katakan nama saya susah terkenal kerana bergelar isteri orang. Tapi saya yakin rezeki Tuhan tentukan tidak kiralah kahwin awal atau tidak,” jelasnya.
Berniaga demi kelangsungan hidup
Penularan Covid-19 enam tahun lalu menjadi pengajaran terbesar dalam hidup penyanyi kelahiran Melaka ini, membuatkan dia tidak lagi bergantung harap sepenuhnya kepada bidang nyanyian untuk mencari sumber pendapatan.
Pengalaman menjalani perintah kawalan pergerakan ketika dunia dicengkam pandemik tidak lama dulu telah membuka seluas-luasnya minda Zur Eda terhadap peluang pendapatan yang dijana menerusi bidang perniagaan.
“Saya tubuhkan Zur Eda Kitchen sejak pandemik kerana sudah mula mencari sumber pendapatan lain untuk menampung kehidupan.
“Kini perniagaan semakin maju dengan membuka tempahan makanan yang saya masak sendiri. Antara menu makanan yang saya jual adalah Mee Kari Nyonya, Ayam Kalio bersama nasi impit, Rendang Minang dan banyak lagi.
“Masakan-masakan ini saya pelajari daripada ibu mertua. Alhamdulillah ilmu masakan yang diturunkan olehnya akhirnya kini saya manfaatkan sebagai salah satu punca pendapatan buat saya dan keluarga,” katanya.
Zur Eda bagaimanapun tetap bersyukur kerana pada usianya sekarang yang mencecah 61 tahun, masih menerima tawaran menyanyi meskipun sudah memperlahankan sedikit pembabitan ekoran faktor usia.
“Alhamdulillah, tawaran menyanyi sampai sekarang masih saya terima lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Cuma sekarang ini aktiviti itu sudah dikurangkan kerana faktor usia. Hanya kita tahu tahap kesihatan diri sendiri,” katanya.










