WUTHERING Heights adalah satu-satunya novel yang sempat dituliskan Emily Bronte semasa hayatnya. Novel klasik yang terbit pada era 1800-an itu bukanlah genre romantik menurut pendapat saya walaupun cerita utama berkisar hubungan antara Catherine/ Cathy dan Heathcliff.
Namun Wuthering Heights adalah sebuah naskhah gothic; suram, penuh tragedi, sisi karakter yang gelap dengan unsur supernatural. Emerald Fennell (Saltburn) memberi tafsiran semula naskhah itu melihat kepada daya pemahamannya terhadap tulisan Emily Bronte dalam filem terbaharunya dengan judul sama untuk tahun 2026.
Filem Wuthering Heights dibuka dengan lelaki yang mengerang di tali gantung, kematiannya disambut sorak-sorai orang ramai. Dari sini kita mula mengenal kelibat Cathy yang masih kanak-kanak ditemani Nelly Dean yang merupakan penjaganya. Cathy ialah anak orang kaya, walaupun begitu, bapanya Earnshaw kaki mabuk, baran kaki judi yang membuatkan keluarga mereka jatuh muflis.
Tapi ketika masih ada duit, Earnshaw kononnya mahu bersikap dermawan dengan membawa pulang seorang budak. Budak itu tidak boleh bercakap, kotor dan tidak mempunyai nama. Ketika itulah Cathy mula memberikannya nama kepada budak itu dengan panggilan Heathcliff. Juga memetik kata-kata Earnshaw, Cathy bebas bermain dengan budak itu yang dianggap sebagai haiwan peliharaan keluarga mereka. Heathcliff menjadi pengganti Hindley, abangnya yang meninggal dunia.

Mereka kemudian menjadi lebih dewasa dan mula ada rasa tertarik antara satu sama lain. Walaupun Cathy sudah berkahwin dan mengandung anak suaminya, Edgar dia tetap bercumbu dengan Heathcliff. Berlakulah siri-siri senggama yang menjadikan obses antara satu sama lain.
Ada beberapa perkara telah dirombak dan diberikan pengolahan semula oleh Fennell berbanding karya asalnya. Tiada yang salah kerana terpulang kepada kebebasan pengkarya cuma ada beberapa kelompongan yang menurut saya penting tetapi tidak diuruskan Fennell dengan baik.

Fennell memadamkan watak Hindley iaitu abang kepada Cathy sejak awal. Sedangkan kalau ikut novel asal, Hindley adalah orang yang selalu memukul dan mendera Heathcliff namun selalu diselamatkan Cathy. Dinamik ini penting untuk menunjukkan sejak dulu, mereka Heathcliff terobsesi dengan kebaikan Cathy.
Bukan itu sahaja, beberapa karakter tidak dikembangkan baik contohnya hubungannya dengan Edgar dan Cathy, macam mana orang kaya itu mahu melamar dan mengahwini perempuan itu ketika dia berusia 18 tahun. Pendek kata, Fennel mahu menyuguhkan Wuthering Heights dalam dinamik yang lain. Fennel mahu mewujudkan sebuah sensasi rasa romantis, menjual erotis dengan memberi fokus antara dua watak Cathy dan Heathcliff.
Berbanding dalam buku yang menceritakan Heathcliff berkulit gelap, Fennel memilih pelakon, Jacob Elordi yang kita sedia maklum memang sedap mata memandang manakala gandingannya pula Cathy dilakonkan Margot Robbie. Walaupun sangat tidak kena seorang Margot mahu melakonkan karakter Cathy berusia 18 tahun.

Formula itu mungkin menangkap sebahagian penonton, tapi saya hanya melihat tidak ada apa-apa yang menawan di sebalik adegan senggama kosong dalam filem ini. Wuthering Heights sangat membosankan dan banyak bergantung kepada persembahan visual dengan warna gelap, kadangkala darah babi untuk menimbulkan kesan-kesan gothic namun tetap, membosankan.
Sedangkan karya adik-beradik Bronte yang satu ini mahu menyindir rasisme yang sangat menebal pada era 1800-an. Sebab itu, Cathy boleh bercinta dengan Heathcliff berkulit gelap dan miskin.
Walau kita tahu masing-masing berputar dalam kitaran toksik yang saling mendera namun dianggap cinta. Masing-masing saling berkhianat kepada suami dan isteri sendiri hanya untuk memenangkan sensasi cinta remaja mereka.
Novel ini juga ada menunjukkan bagaimana generasi kedua daripada kisah mereka harus menghadapi hidup dari jejak trauma ibu bapa mereka. Tapi Fennel tidak membawakannya ke layar. Sebuah filem yang cantik dan membosankan untuk ditonton pada tahun ini.










