Tidak mungkin menghilang, lakonan adalah minat saya - Rosyam Nor - Utusan Malaysia

Tidak mungkin menghilang, lakonan adalah minat saya – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Pelakon versatil Rosyam Nor menafikan tanggapan segelintir pihak bahawa dirinya sudah meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya kini kembali rancak membintangi drama televisyen.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Nor Shamsuddin, 59, berkata, tumpuannya sebelum ini lebih terarah kepada filem sehingga kemunculannya di kaca televisyen dilihat semakin berkurangan.

“Memang sudah lama saya tidak muncul dalam telefilem atau drama bersiri kerana memberi fokus kepada beberapa filem.

“Ada yang bertanya sama ada saya sudah berhenti berlakon. Saya katakan tidak dan tidak mungkin menghilang. Cuma kerana lama tidak muncul di televisyen, nampak seperti saya menghilang,” katanya ketika ditemui pada acara Riang Ria Raya ACGas, baru-baru ini.

Menurutnya, minat yang mendalam terhadap bidang lakonan menjadi pendorong untuk terus aktif meskipun dibebani jadual padat menguruskan perniagaan Rosyam Mart.

“Lakonan adalah minat saya dan kerjaya ini yang membawa saya ke tahap sekarang.

“Justeru, saya perlu terus aktif sama ada di pawagam mahupun televisyen walaupun jadual agak padat dan memenatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, dia kini mula menerima beberapa tawaran drama baharu bagi memenuhi permintaan peminat, namun tetap bersikap selektif.

“Buat masa ini saya hanya menerima satu atau dua projek drama bersiri sahaja.

“Untuk filem, Alhamdulillah, ada yang sudah siap dan ada juga yang bakal menjalani penggambaran.

“Pada 30 April ini akan ditayangkan filem Pewaris Susuk, diikuti penggambaran Blood Brothers 2 serta Memoir Seorang Guru 2 sekitar Disember nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam turut meluahkan keterujaan apabila kembali bergandingan dengan pelakon Rita Rudaini selepas lebih sedekad.

“Kali terakhir saya berlakon dengan Rita adalah menerusi filem Balistik sekitar 2014.

“Rita antara heroin yang diminati ramai ketika kami sering digandingkan sebelum ini. Saya juga tidak sabar menantikan hasil kerjasama terbaharu kami,” katanya.

Tambah Rosyam, gandingan mereka dapat disaksikan menerusi drama bersiri Jiwa Seorang Pentaksub yang dijangka ditayangkan pada Jun ini di TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN