Tiada hak menghalang, Tiz Zaqyah tegur sikap perlekeh misi kemanusiaan - Utusan Malaysia

Tiada hak menghalang, Tiz Zaqyah tegur sikap perlekeh misi kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Tiz Zaqyah tampil menyuarakan pandangan tegas berhubung sikap segelintir masyarakat yang dilihat memperlekehkan misi kemanusiaan Sumud Flotilla di media sosial.

Menerusi perkongsian di Threads, Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan tertentu yang seolah-olah mengehadkan penglibatan wanita dalam misi berisiko tinggi itu.

Menurut Tiz, tiada mana-mana pihak berhak menentukan pilihan hidup individu lain, apatah lagi apabila ia melibatkan usaha murni memperjuangkan misi kemanusiaan di peringkat global.

“Mereka berada di luar sana menjalankan misi berisiko tinggi demi memecahkan kepungan, namun di sini masih ada yang mempertikaikan kemampuan wanita.

“Kita tidak berhak menentukan apa yang orang lain mahu perjuangkan dalam hidup mereka,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon drama bersiri Nur Kasih itu turut menyeru orang ramai agar lebih banyak memberikan sokongan moral serta kata-kata semangat kepada para peserta misi tersebut.

“Tiada apa yang perlu dibuktikan. Jadilah insan yang baik dan hulurkan sokongan.

“Sertai semangat perjuangan ini, jangan diputar belit hingga ia kelihatan salah. Kita perlu bersama-sama mengumpul kekuatan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, isu berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen selepas seorang peserta GSF mempertahankan tindakan pelakon Nadzmi Adhwa yang memberi keizinan kepada isterinya, Ardell Aryana, untuk menyertai misi Sumud Flotilla 2.0.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN