PETALING JAYA: Penyanyi, Syamel terkilan apabila lagu, Hamba Cinta tidak berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 Separuh Akhir.
Bagaimanapun, menurut Syamel, dia akur apabila hasrat untuk membawa lagu ciptaannya bersama Yusuff Khan, Adam Armin, dan Adly Kiddy ke pentas mega itu tidak kesampaian.
“Sudah buat sehabis baik. Kadangkala yang terjadi di luar kawalan bidang kita.
“Sedikit terkilan sebab saya benar-benar mahu bawa Hamba Cinta pergi jauh untuk kalian semua. Tapi tak semua orang ada visi dan usaha yang sama,” luahnya di Threads.
Syamel bagaimanapun menzahirkan ucapan penghargaan buat peminat dan pihak yang setia menyokong karyanya selain memberi bayangan untuk berehat seketika.
“Kepada meraka yang menyokong saya, terima kasih. Terima kasih TV3 dan pihak Universal atas sokongan kalian. Rehat sekejaplah,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut dibanjiri kata-kata semangat daripada rakan selebriti dan peminat yang berharap penyanyi itu tidak putus asa untuk terus berkarya.










