KUALA LUMPUR: Kehangatan suasana Aidilfitri yang suatu ketika dahulu disambut penuh kemeriahan kini dirasai berbeza oleh penyanyi terkenal Ziana Zain apabila kenangan bersama ibu bapanya hanya tinggal memori.
Menurut Ziana, setiap kali tiba musim perayaan sebelum ini, rumah keluarganya tidak pernah sunyi dengan pelbagai persiapan juadah raya yang dilakukan secara bergotong-royong.
“Kalau nak raya, memang meriah. Seminggu dua sebelum raya kami sudah mula berbincang hendak masak apa. Arwah abah akan ajak kami keluar membeli barang dapur.
“Dia beli ayam, daging dan macam-macam bahan. Kadang-kadang sampai 20 kilogram ayam, 10 kilogram daging kami masak. Dapur memang tak pernah sunyi. Mak memasak, kami tolong apa yang patut. Memang meriah suasananya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, tidak dinafikan, Ziana berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini nyata berbeza.
Ujarnya, ketiadaan kedua ibu bapanya menjadikan persiapan raya tidak lagi dilakukan seperti dahulu.
“Tahun ini kami tak masak macam dulu. Kami mungkin hanya beli beberapa lauk seperti rendang untuk hari pertama raya. Kalau sempat, saya mungkin masak sambal tumis yang mak selalu buat untuk makan dengan ketupat atau nasi. Itu pun sekadar untuk lepaskan rindu,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Ziana mengakui kehilangan insan tersayang masih memberi kesan mendalam dalam hidupnya sehingga kini.
“Bila bercakap tentang mak dan abah, memang susah nak tahan air mata. Bukan sebab saya nak puji mereka, tetapi saya tahu hati mereka macam mana. Susah nak jumpa orang yang sebaik mereka.
“Saya cuma bersyukur Allah pinjamkan mereka kepada saya begitu lama. Tidak semua orang dapat peluang hidup lama dengan ibu bapa,” katanya dalam nada sayu.
Walaupun dilanda kerinduan, Ziana tetap meneruskan kehidupan dan komitmen kerjaya seperti biasa. Selepas Aidilfitri, dia dijadualkan menghadiri beberapa undangan termasuk majlis Hari Raya di Singapura selain terlibat dalam beberapa projek seni yang sedang dirancang.










