SHAH ALAM: Penyanyi, Shila Amzah, meluahkan rasa syukur apabila masih menerima sambutan luar biasa daripada peminat di China sepanjang siri jelajahnya di negara itu baru-baru ini.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, dia tidak menyangka penerimaan terhadap dirinya dan karya yang dipersembahkan masih kekal sehingga kini, sekali gus menyifatkan dirinya sebagai antara penyanyi yang bertuah.
Menurutnya, untuk terus relevan dalam industri seni bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas bertahun-tahun berada dalam bidang hiburan.
“Saya pun tidak menjangkakan. Sebelum berlangsungnya siri jelajah ini, saya sudah kembali aktif dengan mengadakan pelbagai persembahan.
“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana sejak beberapa tahun ini, untuk kekal relevan adalah perkara yang sangat sukar untuk dilakukan,” katanya.
Shila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media hari pertama Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir di Studio TV3, Glenmarie, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Masih Ku Cinta itu berkata, peminatnya di China kini terdiri daripada golongan lebih muda berbanding 10 atau 12 tahun lalu, namun mereka tetap menunjukkan sikap hormat dan memahami batas ketika berinteraksi.
“Kalau dulu mungkin umur mereka berbeza, tetapi sekarang kebanyakannya berusia antara 18 hingga 25 tahun.
“Mereka sangat memahami. Kalau berjumpa, peminat perempuan kadang-kadang terus mahu memeluk, tetapi peminat lelaki pula tahu batas mereka. Walaupun menangis, tangan mereka tetap di belakang dan menahan diri,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan penerimaan peminat di China dan Malaysia, Shila berkata, baginya hanya lokasi yang berbeza, manakala semangat serta sokongan yang diberikan peminat tetap sama dan sangat dihargainya.
Katanya, sama ada berada di Malaysia mahupun China, dia tidak pernah membezakan tahap komitmen kerana minat dan cintanya terhadap bidang seni sentiasa konsisten.
“Di mana-mana sahaja, sama ada di Malaysia atau China, usaha dan minat saya terhadap bidang ini tetap sama.
“Tidak ada kaitan saya mungkin membuat persembahan lebih di sana. Apabila saya berada di atas pentas, saya akan menyerap energi daripada peminat.
“Kalau saya dapat lebih energi, ia menjadi dorongan untuk saya melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya. Jadi, bagi saya hanya tempat sahaja yang berbeza,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shila mempertaruhkan lagu Pernah Punya Aku di pentas AJL40 SA dan kini menantikan keputusan pada malam Ahad bagi menentukan kelayakannya ke pentas akhir AJL edisi kali ini.
Hari pertama AJL40 SA turut menyaksikan saingan lagu popular seperti Hijab Rindu nyanyian Black Hanifah, Rasa & Takdir (Amira Othman dan Haris Ismail), Kamu (Aina Abdul), Semacam Pandora (Hazama) dan Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan).
Saingan diteruskan pada malam kedua dengan barisan lagu lain termasuk Nurcinta (Amir Masdi), Menyala (Stacy), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nostalgila (Haqiem Rusli) dan Tak Adil (Aisyah Retno) sebelum keputusan lagu yang layak ke peringkat akhir diumumkan.










