PETALING JAYA: Pelakon, Kamal Adli tampil menitipkan ucapan penuh bermakna sempena ulang tahun kelahiran buat puteri kesayangannya, Hawra Uqaira yang kedua tahun.
Berbeza dari tahun sebelumnya, Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli turut meluahkan rasa ralat tidak dapat menyambut ulang tahun kelahiran anaknya itu bersama kerana tuntutan kerja.
“Selamat ulang tahun kelahiran yang kedua sayang. Maaf ayah tiada di sini sewaktu ulang tahun kelahiran awak. Cari rezeki jauh sikit, Allah bagi. Ayah sayang awak sangat.
“Ayah rindu Hawra. Maaf, tahun ini lain sikit dari tahun lepas. Tapi ayah doakan Hawra menjadi anak yang solehah, bijak dan sihat,” katanya di Instagram.
Dalam masa sama, Kamal juga menzahirkan penghargaan buat bekas isterinya, Uqasha Senrose yang berkorban nyawa dan tenaga dalam membesarkan cahaya mata mereka.
“Terima kasih ibu lahirkan dan jaga Hawra. Allah saja dapat balas,” ringkasnya.
Pada 12 Januari lalu, Kamal dan Uqasha disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021.










