KUALA LUMPUR : Pengacara, Uyaina Arshad, mendedahkan hasrat awal untuk menamakan anak ketiganya dengan nama ‘Urelius’, namun membatalkan niat tersebut atas faktor kesesuaian dalam konteks tempatan.
Menerusi perkongsian di Threads, Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, berkata nama ‘Urelius’ dipilih kerana diinspirasikan daripada perkataan Aurelius yang membawa maksud ‘emas’ dalam bahasa Latin.
Menurutnya, ketika sedang hamil anak ketiga, dia sangat meminati elemen emas sehingga terdetik untuk memilih nama tersebut.
“Selain Uzayn, antara nama yang saya suka juga ialah Urelius. Waktu itu saya sedang mengandungkan anak ketiga dan sangat sukakan emas.
“Sampai terfikir untuk letak nama Urelius, diinspirasikan daripada Aurelius yang bermaksud emas dalam bahasa Latin,” katanya.
Tambahnya, nama tersebut juga dipengaruhi tokoh sejarah terkenal, Marcus Aurelius, seorang Maharaja Rom yang disegani.
“Lagipun Marcus Aurelius ialah Maharaja Rom yang sangat terkenal. Jadi rasa nama itu ada nilai yang kuat, lebih-lebih lagi abang sulungnya menggunakan nama bertemakan Sultan Turki,” ujarnya.
Bagaimanapun, Uyaina mengambil keputusan untuk tidak menggunakan nama tersebut selepas mempertimbangkan kesesuaian budaya di Malaysia.
“Tapi bila fikir semula, nama itu agak berat untuk konteks di Malaysia. Saya risau nanti dia akan diejek di sekolah.
“Kena ejek nama pada waktu sekolah memang sangat menyakitkan,” jelasnya.
Mengimbas pengalaman sendiri, Uyaina mengakui pernah menjadi mangsa ejekan kerana namanya yang unik ketika di bangku sekolah rendah.
“Dulu saya pun pernah kena ejek sebab nama Uyaina. Mereka selalu tanya, ‘Nama apa itu? Peliklah’.
“Bila masuk sekolah menengah, saya minta orang panggil saya Naseha, iaitu nama tengah saya sebab takut kena ejek lagi,” katanya.
Namun, ketika melanjutkan pelajaran ke universiti, beliau kembali menggunakan nama Uyaina dan mula menghargai keunikannya.
“Tapi bila masuk universiti, saya mula gunakan semula nama Uyaina. Masa itu baru saya sedar nama saya sebenarnya unik.
“Tak ada orang lain guna nama itu. Sekarang saya bangga dengan nama sendiri. Nama unik itu adalah identiti diri saya,” katanya.










