Nama Lee Ji Eun atau IU bukanlah asing dalam dunia hiburan Korea Selatan. Terkenal dengan vokal yang merdu dan memiliki lagu-lagu hits menyentuh emosi, IU juga pelakon yang berbakat di tanah air itu.
Dalam dunia hiburan yang sarat dengan persaingan, hanya segelintir selebriti Korea Selatan mampu mengekalkan populariti dan pengaruh yang kuat dalam jangka masa panjang.
Namun bagi penyanyi yang bertubuh genit itu, perjalanan kariernya bukan sekadar kisah kejayaan seorang penyanyi K-pop, tetapi ketabahan, bakat luar biasa dan keperibadian yang menyentuh hati jutaan peminat.
Siapa sangka, di sebalik senyuman manis dan auranya yang tidak pernah pudar itu tersimpan pelbagai kisah menarik yang menjadikan figura ini begitu istimewa di mata peminat. Berikut merupakan lima fakta menarik tentang IU:-
Pernah melalui zaman hidup yang sukar
Sebelum menjadi salah seorang artis paling disanjungi di Korea, IU pernah melalui kehidupan yang sangat sukar. Kisah hidupnya ini jarang diketahui ramai, namun banyak membentuk peribadinya yang kini matang, rendah diri, dan penuh empati.
IU pernah melalui kehidupan yang cukup mencabar apabila keluarganya berdepan masalah kewangan. Malah, dia dan adiknya terpaksa tinggal bersama nenek di Seoul dalam keadaan serba sederhana.
Pengalaman hidup yang sukar itu banyak membentuk dirinya menjadi individu yang tabah, merendah diri serta menghargai setiap peluang yang hadir dalam hidupnya.
Berkali-kali ditolak sebelum mendapat peluang
Memulakan kerjaya seninya pada usia 15 tahun, perjalanan IU untuk bergelar penyanyi bukanlah mudah. Sewaktu remaja, dia menghadiri pelbagai sesi uji bakat namun sering ditolak oleh lebih 20 agensi hiburan.
Malah, ada juga agensi yang hampir menipunya dengan janji palsu, membuatkan IU kecewa dan hampir berputus asa kerana berdepan dengan penolakan berulang kali pada usia muda.
Akhirnya, dia diterima oleh Kakao Entertainment dan membuat debut pada 2008 menerusi lagu Lost Child, sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier seninya.

Lagu Good Day melonjakkan populariti
Nama IU mula meledak di persada muzik Korea selepas melancarkan lagu yang berjudul Good Day pada 2010. Lagu tersebut menjadi fenomena kerana bahagian tiga tahap nota tinggi yang sangat mencabar dari segi vokal.
Selain aspek vokal, lirik lagu ini menampilkan kisah cinta remaja yang manis dan jujur, menjadikan ia mudah disukai ramai. Lagu ini terus menduduki carta muzik digital selama berminggu-minggu dan masih diingati sebagai salah satu lagu K-pop paling ikonik pada tahun itu.
Lagu ikonik itu bukan sahaja mempamerkan kekuatan suaranya, malah menjadikan IU antara penyanyi wanita paling dihormati dalam industri K-pop.
Bakat besar sebagai penulis lagu
Selain dikenali dengan vokal yang merdu, IU juga seorang penulis lagu dan komposer berbakat dalam industri muzik South Korea. Tidak seperti sesetengah penyanyi, IU terlibat secara aktif dalam proses kreatif menghasilkan muziknya sendiri.
Sejak awal kerjaya, IU sudah mula menunjukkan minat dalam menulis lirik dan menggubah melodi. Bakat tersebut semakin terserlah apabila dia mula menghasilkan banyak lagu sendiri yang kemudiannya menjadi hit. Antara karya popular yang dihasilkan olehnya termasuk Palette, Through the Night dan Celebrity.
Keistimewaan IU terletak pada gaya penulisan lirik yang jujur dan dekat dengan pengalaman hidup. Banyak lagunya menyentuh tema seperti perjalanan usia, emosi, hubungan serta refleksi diri, yang membuatkan pendengar mudah mengaitkan diri dengan cerita yang disampaikan.
Aktif dalam kerja kebajikan
Di sebalik populariti yang dimiliki, IU juga terkenal dengan sifat pemurahnya. Penyanyi ini sering membuat sumbangan kepada pelbagai badan kebajikan di Korea Selatan, khususnya bagi membantu kanak-kanak dan golongan kurang berkemampuan.
Antara yang paling mendapat perhatian adalah apabila IU secara konsisten menderma kepada Green Umbrella Children’s Foundation, sebuah badan kebajikan yang memberi bantuan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
IU juga sering membuat sumbangan kepada Hope Bridge Korea Disaster Relief Association bagi membantu mangsa bencana seperti banjir dan kebakaran. Menariknya, banyak sumbangan tersebut dilakukan secara senyap tanpa menghebahkannya kepada umum.










