Rabbani cipta sejarah bakal adakan persembahan di Uzbekistan - Utusan Malaysia

Rabbani cipta sejarah bakal adakan persembahan di Uzbekistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid popular tanah air, Rabbani, bakal mengadakan siri persembahan istimewa di Uzbekistan bermula 23 hingga 30 April ini, menerusi penyertaan lebih 50 peserta dalam Pakej Percutian Bersama Rabbani anjuran Jawahir Travel & Tour Sdn. Bhd.

Sepanjang program tersebut, kumpulan berkenaan dijadual mengadakan persembahan di beberapa lokasi utama termasuk Samarkand dan Tashkent, yang terkenal dengan keindahan seni bina serta nilai sejarah ketamadunan Islam. Selain menyaksikan persembahan eksklusif, peserta turut berpeluang melawat pelbagai destinasi pelancongan menarik di negara berkenaan.

Pihak penganjur turut memberi jaminan bahawa Uzbekistan merupakan destinasi yang selamat dan stabil, serta tidak terlibat dengan sebarang konflik semasa. Laluan perjalanan yang dirancang juga disahkan tidak terjejas, sekali gus menepis kebimbangan orang ramai berhubung faktor keselamatan.

Penyertaan bagi pakej tersebut kini memasuki fasa panggilan terakhir dan masih dibuka kepada orang ramai selagi kekosongan tempat masih ada. Mereka yang berminat boleh menghubungi pihak penganjur atau melayari laman web rasmi untuk maklumat lanjut dan tempahan.

Hampir tiga dekad mewarnai industri seni tanah air, Rabbani terus mengekalkan reputasi sebagai antara kumpulan nasyid paling berpengaruh. Mereka dikenali dengan lagu-lagu berunsur kerohanian yang sarat mesej kemanusiaan, selain kekuatan vokal dan persembahan pentas yang konsisten.

Terbaharu, kumpulan itu tampil dengan single berjudul Tercipta Bersama, hasil ciptaan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya. Mereka juga difahamkan sedang merancang penggambaran video muzik rasmi lagu berkenaan dalam masa terdekat.

Menariknya, kunjungan ke Uzbekistan kali ini turut diselitkan dengan usaha menghasilkan sebuah dokumentari berkaitan sejarah dan warisan negara tersebut, sebagai langkah memperluas kandungan seni dan budaya ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang kerjaya, Rabbani telah mengadakan persembahan di pelbagai negara termasuk di Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara, sekali gus membuktikan penerimaan luas terhadap karya mereka di persada global.

Dalam perkembangan lain, peminat juga dijemput untuk menantikan konsert berskala besar Rabbani yang dijangka berlangsung pada Ogos serta penghujung tahun ini, sebagai kesinambungan perjalanan seni mereka yang terus relevan merentasi zaman.

Usaha berterusan kumpulan ini diharap mampu menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN