Pertengkaran seperti ini buat hati saya terusik dan sedih -Aisha Retno - Utusan Malaysia

Pertengkaran seperti ini buat hati saya terusik dan sedih -Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aisha Retno menjelaskan pendiriannya susulan isu lagu Jodoh Lebaran yang menerima kritikan segelintir netizen di Indonesia, khususnya berkaitan penggunaan perkataan Lebaran.

Aisha tidak menafikan bahawa, dia terkilan dengan cara segelintir pihak melontarkan pandangan yang disifatkan kurang beradab.

“Sebenarnya bukan soal lagu itu tidak diterima secara keseluruhan kerana saya lihat ramai juga yang menerima dengan baik, sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia.

“Kebimbangan saya lebih kepada cara komen itu disampaikan, yang pada saya kurang beradab dan tidak begitu sivik. Itu sahaja yang sedikit mengganggu perasaan saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Usanita, di ibu negara, kelmarin.

Menurut Aisha lagi, sebagai individu yang mempunyai latar belakang keluarga Malaysia dan Indonesia, dia berasa sedih melihat perkara kecil diperbesarkan sehingga mencetuskan perbalahan.

“Saya ini datang daripada dua latar belakang, ibu saya orang Indonesia dan ayah pula orang Malaysia. Jadi apabila saya melihat pertengkaran kecil seperti ini, buat hati saya sedikit terusik dan sedih.

“Perkara seperti penggunaan perkataan ‘Lebaran’ pun boleh menjadi isu, sedangkan pada saya ia tidak perlu diperdebatkan sampai begitu sekali,” ujarnya.

Tambah penyanyi itu, dia juga pernah berdepan isu hampir sama sebelum ini melibatkan batik, dan menyifatkan situasi tersebut seolah-olah berulang.

“Sebelum ini pun saya pernah dikaitkan dengan isu batik, dan sekarang perkara seperti ini berlaku lagi. Seolah-olah ada pihak melihat saya sebagai mewakili dua negara dan mengharapkan saya memilih satu.

“Tetapi saya tetap dengan pendirian saya, saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan dalam masa sama bangga mempunyai darah Indonesia,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Aisha berkata dia menyerahkan sepenuhnya kepada pendengar untuk menilai dan menerima lagunya, namun merasakan perlu bersuara kali ini kerana ingin menjelaskan keadaan sebenar.

“Saya serahkan 100 peratus kepada pendengar untuk menerima atau tidak lagu ini. Tetapi kali ini saya rasa perlu bersuara kerana saya baru menggunakan platform Threads dan rasa lebih dekat dengan peminat di Malaysia dan Indonesia. Jadi ada perkara yang saya rasakan wajar untuk diketengahkan.

“Saya tahu ramai peminat di Indonesia yang sangat baik, sangat menyokong dan menghargai karya saya. Lagu saya bukan satu sahaja yang pernah mendapat sambutan di sana. Mereka sangat sopan, ‘welcoming’ dan menghormati budaya. Jadi saya percaya komen negatif itu hanyalah daripada segelintir pihak sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, Aisha berpendapat isu kecil seperti ini tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menjejaskan hubungan antara dua negara.

“Bagi saya, perkara kecil seperti ini tidak perlu diperbesarkan. Kadang-kadang lebih baik kita biarkan sahaja kerana masa akan meredakan keadaan. Seperti isu sebelum ini, lama-kelamaan ia akan senyap.

“Kalau ada yang masih berkeras dengan pendapat mereka, kita biarkan sahaja. Sekurang-kurangnya kita sudah menyuarakan pandangan.

“Saya datang daripada kedua-dua negara, jadi bagi saya pertengkaran seperti ini tidak perlu. Kita saling mendengar dan berkongsi karya, termasuk muzik. Jadi pada saya, ini bukan isu besar, hanya perkara kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan,” katanya.

Terdahulu, Aisha meluahkan rasa sedih apabila lagu rayanya, Jodoh Lebaran yang dihasilkan sempena Aidilfitri tahun ini menerima komen negatif dari netizen Indonesia.

Menurut Aisha, dia kesal apabila karyanya itu dianggap tidak berkualiti dan mampu tandingi lagu Indonesia selain dikritik kerana penggunaan kosa kata lebaran, lagu raya, baju raya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN