Penangan tunang Bella Astillah, lagu Zack Tabudlo kembali tular - Utusan Malaysia

Penangan tunang Bella Astillah, lagu Zack Tabudlo kembali tular

Zack Tabudlo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lagu hit ‘Give Me Your Forever’ nyanyian bintang pop Filipina, Zack Tabudlo, kembali mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik tanah air selepas dikaitkan dengan detik pertunangan pelakon Bella Astillah bersama YB Syed Saddiq, baru-baru ini.

Lagu romantis yang dilancarkan pada penghujung 2021 menerusi album sulungnya bertajuk ‘Episode’ itu, kini menjadi lagu tema utama yang mengiringi video-video tular pasangan tersebut di media sosial.

Menyedari lagunya menjadi pilihan untuk meraikan momen bahagia berkenaan, Zack Tabudlo menerusi hantaran di media sosial turut menitipkan ucapan tahniah kepada Bella dan Syed Saddiq, sekali gus menarik perhatian ramai peminat dari kedua-dua buah negara.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama karya Zack dikaitkan dengan Bella Astillah. Sekitar tiga tahun lalu, Bella pernah menarik perhatian ramai apabila membuat video cover bagi lagu ‘Pano’ yang juga merupakan salah satu lagu paling popular Zack di Asia Tenggara.

Zack Tabudlo yang dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu dan penerbit berbakat mula mencipta nama di peringkat global apabila lagu ‘Binibini’ mendominasi carta Spotify selama enam minggu berturut-turut pada tahun 2021.

Kejayaan tersebut turut melayakkan beliau menerima paparan papan iklan di Times Square, New York, selain lagu ‘Pano’ miliknya mencatat sejarah sebagai lagu paling lama berada di kedudukan nombor satu carta Top 50 Filipina selama 455 hari.

Selain tular menerusi video pertunangan pasangan tersebut, lagu ‘Give Me Your Forever’ juga kini semakin mendapat tempat di Malaysia menerusi pelbagai video parodi, termasuk yang dihasilkan oleh ERA Sarawak.

Kini, karya Zack Tabudlo terus mengukuhkan kedudukannya dalam carta Spotify Top 200 di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, UAE dan Vietnam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN