KEJAYAAN lagu Cinta Tersimpul Rapi versi kecerdasan buatan (AI) yang mendominasi carta Itunes Malaysia Februari lepas sebelum ia diturunkan di semua platform digital gara-gara isu hak cipta, sebenarnya menandakan bahawa sebilangan besar penggemar muzik tempatan sudah dapat menerima produk kreatif yang terhasil daripada teknologi berkenaan. Jika sebelum ini ramai yang skeptikal terhadap AI, kini keadaan berubah.
Penggunaan aplikasi dan platform dalam talian bagi penghasilan lagu dan nyanyian AI juga menyaksikan peningkatan, memberi bayangan penghasilan produk muzik secara konvensional kini bersaing dengan teknologi baharu seperti AI.
Namun, teknologi juga punya kelemahan. Karya muzik dan nyanyian yang terhasil dengan AI miliki kekurangan. Perkara ini diakui penyanyi berpengalaman, Idayu yang berpandangan nyanyian yang dipacu AI tidak setanding kemampuan nyanyian manusia yang dianugerahkan Allah.
“Sejak pertama kali rakam lagu dulu, saya tidak pernah gunakan teknologi untuk menambah baik nyanyian saya, apatah lagi sekarang ini, tidak sekali pun saya pernah menggunakan AI untuk tujuan sama.
“Benar, dengan bantuan AI, sesiapa pun boleh menjadi penyanyi, termasuklah teknologi itu sendiri. Tetapi harus diingat, nyanyian yang terhasil dengan AI ini kosong. Ia ini tidak menyuntik ‘rasa’, apatah lagi memberi jiwa.
“Realitinya, dalam bidang nyanyian, teknologi tidak akan berupaya memberikan dua perkara itu. Hal ini diakui ramai komposer berpengalaman,” katanya.
Idayu dalam pada itu bukanlah menolak penggunaan AI, malah turut meraikan manfaat teknologi berkenaan dalam beberapa hal termasuk penghasilan lagu.
“Sebenarnya saya terima banyak tawaran untuk menyanyikan lagu yang dihasilkan dengan AI. Bagi saya, itu tidak menjadi isu.
“Malah ada lagu yang dibikin dengan AI ini, hasilnya bagus dan menakjubkan. Kadang saya sendiri kagum dengan hasilnya.
“Apa pun, AI atau bukan, yang menghidupkan lagu adalah nyanyian manusia, bukan robot,” ujarnya.

MAHAL
Mengulas mengenai single baharu, Idayu meluahkan rasa gembira apabila hasrat untuk bersatu suara dengan Juara Gegar Vaganza musim ke-12, menjadi kenyataan menerusi lagu Mahal.
Menurut penyanyi yang digelar Mariah Carey Malaysia itu, Iskandar contoh penyanyi lelaki yang berkredibiliti dan berkemampuan menjadi rakan duet yang serasi dengannya.
“Saya tidak pentingkan tahap populariti pasangan duet. Yang saya utamakan adalah kualiti suara yang dimiliki penyanyi itu.
“Sebab itu saya gembira apabila mengetahui Iskandar telah ditetapkan pasangan duet saya kerana saya yakin dia mampu memberi rasa dalam lagu ini.
“Dan sebenarnya saya mengikuti Iskandar sepanjang pembabitannya dalam rancangan Gegar Vaganza, ketika itu saya sudah jangkakan yang dia bakal juara,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini juga meletakkan harapan agar lagu Mahal ini dapat mengukuhkan namanya dalam persada seni tanah air.
“Saya sedar selepas dua dekad bergelar penyanyi, masih ramai yang tidak mengenali saya. Sebab itu, apabila mengeluarkan single baharu, saya sentiasa letakkan harapan agar lagu itu membantu melonjakkan lagi nama saya.
“Harapan yang sama juga saya sulamkan dengan lagu ini yang mana, besar keinginan saya untuk membawanya ke persada lebih besar seperti Anugerah Juara Lagu,” jelasnya.










