Masih berlakon walau kini ceburi dunia pelaburan - Zoey Rahman - Utusan Malaysia

Masih berlakon walau kini ceburi dunia pelaburan – Zoey Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pelakon dan selebriti media sosial, Zoey Rahman menepis dakwaan kononnya dia telah meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya susulan penglibatannya dalam bidang pelaburan dalam talian berlandaskan prinsip patuh syariah.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, bidang baharu yang diceburinya itu menawarkan fleksibiliti tinggi kerana boleh dilakukan tanpa terikat dengan masa dan lokasi tertentu.

Menurutnya, penglibatan dalam pelaburan tersebut sama sekali tidak menjejaskan kerjayanya sebagai seorang aktor.

“Pelaburan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jadi saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin supaya tidak mengganggu urusan lain.

“Walaupun serius mencuba bidang baharu, tidaklah saya tinggalkan kerjaya seni. Cuma kena pandai mencari peluang supaya kedua-duanya berjalan seiring,” katanya.

Zoey berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Prediktable Circle di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Zoey menjelaskan ketidaktentuan ekonomi global menjadi antara faktor utama mendorongnya meneroka bidang tersebut.

Katanya, pelbagai krisis dunia termasuk konflik di Timur Tengah serta kenaikan harga minyak memberi kesedaran kepadanya untuk mencari sumber pendapatan alternatif.

“Saya rasa waktu sekarang kena buat sesuatu dan saya ditemukan dengan kerjaya baharu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Anakku Diva dan Mat Rukun itu berkata, tujuan utama dia menceburi bidang pelaburan adalah untuk mencapai kehidupan lebih selesa di samping membantu keluarga.

“Siapa yang tidak mahu kehidupan lebih baik. Bukan untuk diri sendiri sahaja, saya juga mahu memberi kesenangan kepada keluarga,” katanya.

Pada majlis sama, Zoey turut diumumkan sebagai rakan strategik kepada akademi berkenaan yang telah beroperasi selama tiga tahun.

Sementara itu, pengasas Prediktable, Hasmawatie menjelaskan masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai perdagangan futures dan forex.

Menurutnya, futures merujuk kepada kontrak kewangan melibatkan pembelian atau penjualan aset pada masa hadapan, khususnya komoditi seperti emas, minyak dan gas.

“Ramai yang keliru dan bertanya sama ada futures trading ini forex. Jawapannya bukan kerana kedua-duanya adalah instrumen berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, pengasas bersama, Umair Azman berpandangan, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, masih terdapat ruang dan peluang baharu yang boleh diterokai oleh masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN