Maria Menado meninggal dunia - Utusan Malaysia

Maria Menado meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Melayi klasik era 50-an, Datuk Seri Maria Menado dikhabarkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada usia 94 tahun, pada jam 12.25 tengah hari tadi.

Menurut menantu Allahyarham Maria, Sairul Amar Ayob, beliau menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua, di sisi ahli keluarga selepas dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 April lalu.

“Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” kata Sairul kepada Astro AWANI.

Menerusi sebuah laporan media, Sairul memaklumkan jenazah Allahyarham Maria masih di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada kaum keluarga dan sahabat serta kenalan memberi penghormatan terakhir.

Jenazah dijangka akan dibawa ke Masjid Umar Al-Khattab Bukit Damansara pada jam 4 petang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Asar.

Sekadar info, Allahyarham Maria atau nama sebenarnya Liesbet Dotulong dilahirkan pada 2 Februari 1932.

Bintang filem Melayu termasyhur antara 1951 dan 1963 itu berhijrah ke Singapura dan menganut Islam ketika berusia 19 tahun serta berkahwin dengan promoter tinju dan penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.

Allahyarham Maria mula menempah nama dalam industri perfileman selepas berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions serta Cathay-Keris Film Productions.

Nama Allahyarham Maria mula melonjak ke puncak populariti menerusi lakonannya sebagai watak utama dalam filem Pontianak terbitan 1957 sekali gus membuatkan belia digelar ‘Wanita Terjelita Malaya’ oleh Times Magazine dan ‘Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara’ oleh United Press International.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN