KUALA LUMPUR: Bekas isteri kepada pelakon, Que Haidar iaitu Linda Jasmine memberi bayangan mengenai punca perpisahan mereka sebelum ini.
Menerusi satu komen yang ditinggalkan di platform TikTok, Linda menyatakan tindakannya berpisah adalah demi melindungi anak-anak daripada perkara yang tidak diingini.
“Saya melindungi mereka (anak-anak) daripada kejahatan, sebab itu saya menceraikan dia. #YTJT,” katanya ringkas tanpa memperincikan lanjut.
Kenyataan tersebut dipercayai dibuat sebagai respons kepada netizen yang menasihatkan Linda kembali rujuk dengan bekas suaminya.
Malah, netizen berkenaan turut mencadangkan supaya mereka bernikah semula demi kebaikan bersama.
“Lebih baik kamu berdua bernikah semula. Kamu berada dalam perlindungan Allah daripada kejahatan, kemudian bersatu kembali demi kebaikan bersama,” tulis individu tersebut.
Dalam pada itu, anak mereka, Tengku Ratu Haidar turut memberikan respons dengan menjelaskan bahawa orang luar tidak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam keluarga mereka.
“Terima kasih atas perhatian anda, tapi awak tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya,” katanya.
Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada 2009 sebelum bercerai pada Julai 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar. – UTUSAN










