Bagi pelakon popular Zara Zya, kehadiran kucing dalam hidupnya bukan sekadar sebagai haiwan peliharaan. Di sebalik kesibukan dunia lakonan, si bulu yang comel itu menjadi peneman setia yang mengisi ruang sunyi di rumahnya.
Minat Zara atau Zainurul Razia Mohd. Zainuddin terhadap haiwan tersebut sudah bermula hampir dua dekad lalu dan sehingga kini kasih sayangnya terhadap kucing tidak pernah pudar.
Menurut Zara, rumahnya suatu ketika dahulu pernah dipenuhi dengan puluhan ekor kucing yang dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ke akhir hayat haiwan itu.
“Saya mula membela kucing kira-kira 15 hingga 20 tahun lalu. Sekarang saya hanya mempunyai dua ekor kucing. Jumlah paling banyak yang pernah saya bela sebelum ini ialah sekitar 30 ekor.
“Kucing yang ada sekarang sebenarnya daripada keturunan kucing-kucing yang pernah saya bela dahulu.
“Pada awalnya saya hanya membeli empat ekor sahaja, kemudian ada juga kucing yang diberikan oleh orang kepada saya.
“Saya bela semuanya sehingga ada yang mati. Daripada 30 ekor itu juga, ada yang saya berikan kepada orang lain kerana apabila jumlahnya terlalu banyak, saya tidak mampu memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya,” katanya kepada Pancaindera.

Selain bersikap mudah cemburu kerana mahukan perhatian, pelakon berusia 41 tahun itu menyifatkan kehadiran kucing memberi ketenangan kepadanya terutama selepas pulang daripada bekerja.
“Kucing sebenarnya penuh dengan kasih sayang. Boleh merasai perasaan kita, sama ada kita sedang sedih atau gembira. Kita boleh berkongsi perasaan dengan kucing,” katanya.
Berkongsi mengenai rutin hariannya bersama kucing kesayangan, pelakon drama Mencari Isteri Sempurna itu menegaskan dirinya tetap memastikan kebajikan haiwan peliharaannya terjaga setiap hari meskipun sibuk bekerja.
“Rutin saya setiap hari sebelum keluar bekerja adalah menyediakan makanan dan air, serta membersihkan tempat kucing. Jika ada masa, saya akan bermain dengan kucing.
“Setiap pagi sebelum pergi kerja, saya akan bersihkan tempat kucing, buang kotoran dan sediakan makanan serta air.
“Apabila pulang dari kerja, saya akan melakukan perkara yang sama. Bulu kucing juga perlu selalu disikat kerana jika kucing stres, bulu mudah gugur.
“Kucing juga perlu selalu dibawa untuk pemeriksaan kesihatan kerana apabila usia meningkat, kucing juga boleh menghidap pelbagai penyakit seperti manusia.
“Kita perlu membawa kucing berjumpa doktor haiwan yang bertauliah kerana kucing tidak boleh memberitahu kita apabila mereka sakit atau lapar” terangnya panjang lebar.

Kata Zara lagi, kos menjaga kucing sebenarnya tidak terlalu tinggi jika jumlahnya tidak banyak.
Dengan hanya dua ekor kucing, dia mampu membeli makanan yang lebih berkualiti serta suplemen yang baik untuk kesihatan haiwan itu.
“Seekor daripada kucing saya pernah menghidap leukemia, jadi perlu mengambil suplemen setiap hari. Kos penjagaan tidak menentu sebenarnya. Namun jika mereka sakit, kos rawatan boleh mencecah ribuan ringgit.
“Kita tidak tahu bagaimana keadaan kucing apabila sakit. Walaupun sakit, kucing tetap mahu berada dekat dengan kita. Kecuali jika terlalu sakit, barulah kucing akan menyendiri,” kongsinya.
Manja seperti manusia, Zara menasihatkan golongan pencinta kucing agar menjaga kebajikan dan menatang haiwan peliharaan mereka dengan penuh kasih sayang.
“Bagi kucing, apabila hidup bersama kita, haiwan ini menganggap kita seperti ibu bapa dan akan menyayangi kita sepenuh hati. Jika kita mempunyai kemampuan, belilah makanan yang baik supaya kesihatan kucing peliharaan kita akan lebih terjaga dan usia juga lebih panjang.
“Namun jika kita membela kucing hanya kerana mengikut trend atau orang lain, itu tidak sepatutnya berlaku.
“Jika kita tidak mampu memberikan kasih sayang yang secukupnya, lebih baik jangan membela kucing. Kucing hanya sesuai dipelihara oleh orang yang benar-benar penyayang,” ujarnya.










