Konsert ‘Kristal OG’ rai 25 Tahun, satukan generasi di pentas bersejarah - Utusan Malaysia

Konsert ‘Kristal OG’ rai 25 Tahun, satukan generasi di pentas bersejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjalanan seni selama 25 tahun kumpulan rock tempatan, Kristal, bakal diraikan menerusi sebuah konsert istimewa yang dijangka mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan barisan ahli lama dan baharu di atas satu pentas ikonik.

Dalam industri muzik yang penuh cabaran, tidak semua kumpulan mampu bertahan lama. Namun Kristal membuktikan bahawa semangat, persahabatan serta kecintaan terhadap muzik menjadi asas kukuh dalam membina legasi yang terus relevan hingga ke hari ini.

Bermula kira-kira dua dekad lalu, sekumpulan anak muda melangkah ke dunia muzik dengan impian sederhana. Tanpa pentas besar dan sorotan lampu gemerlapan, mereka hanya berbekalkan minat mendalam serta ikatan persahabatan yang utuh.

Dari studio kecil dan persembahan gig bawah tanah, Kristal perlahan-lahan mengorak langkah sebelum berjaya mencipta nama sebagai antara kumpulan rock yang memberi impak dalam landskap muzik tanah air.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai fasa dilalui yang akhirnya membentuk identiti unik kumpulan berkenaan.

Bagi mengimbau kembali perjalanan itu, Konsert ‘Kristal OG – 25 Tahun Dalam Satu Malam’ bakal berlangsung pada 1 Mei ini di Zepp Kuala Lumpur.

Vokalisnya, Lan berkata, konsert berkenaan tampil berbeza berbanding persembahan terdahulu apabila mereka akan tampil secara habis-habisan.

“Konsert ini lain daripada sebelum ini. Kami akan ‘all out’ dengan membawakan lagu-lagu dari album pertama hingga album ke-13.

“Lagu-lagu ini termasuk yang pernah dirakam bersama barisan anggota terdahulu seperti Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi,” katanya.

Menurut Lan, konsert tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi medan mengimbau nostalgia yang membesar bersama peminat setia mereka.

Mengulas lanjut, Lan menyifatkan tempoh 25 tahun itu sebagai perjalanan seni yang panjang, bermula sejak usia muda hingga ke tahap sekarang.

“Sepanjang 13 album dihasilkan, anggota kumpulan sering bertukar, namun konsep dan genre muzik kami kekal.

“Pelbagai cabaran, dugaan, suka dan duka telah dilalui, namun semua itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berkarya,” ujarnya.

Konsert berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event.

Ia turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif – Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik.

Sementara itu, wakil penganjur, Khai berkata, perancangan konsert tersebut mengambil masa panjang kerana pihaknya terlebih dahulu menimba pengalaman melalui penglibatan dalam penganjuran konsert artis lain.

“Idea ini tercetus selepas saya mula rapat dengan Lan dan kami sering berbincang.

“Lan sebelum ini belum pernah mengadakan konsert solo berskala besar, jadi dari situlah timbulnya idea untuk menjayakan konsert ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert berkenaan boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi penganjur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN