Keluar Raihan bukan kerana bermasam muka - Amran Ibrahim - Utusan Malaysia

Keluar Raihan bukan kerana bermasam muka – Amran Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI spekulasi timbul sebaik sahaja kumpulan nasyid bertaraf legenda, dalam beberapa persembahan tahun mereka sejak awal tahun lepas, dilaksanakan tampil kehadiran salah seorang anggota asalnya, Amran Ibrahim.

Lebih menimbulkan kekeliruan apabila Amran secara tiba-tiba membuat kemunculan dalam klip video lagu Mengemis Kasih dendangan Yabang bersama kumpulan The Zikr yang dipertontonkan sekitar September tahun lepas, selain sekarang ini secara rasmi mengumumkan sudah menjadi ahli kumpulan A.N.A The Rayhan yang turut dianggotai dua bekas vokalis Raihan iaitu Nazrey Johani dan Zulfadzli Mustaza atau Afad.

Ramai peminat yang tertanya-tanya mengenai status Amran bersama Raihan manakala ada juga yang membuat telahan kononnya tercetus konflik dalaman yang membuatkan beliau beralih arah.

Tampil menjernihkan kekeliruan, Amran memaklumkan tidak timbul isu bermasam muka dengan dua anggota Raihan, Che Amran dan Abu Bakar dan penyertaan bersama A.N.A The Rayhan adalah atas pilihan sendiri tanpa sebarang kekangan. 

“Persetujuan bersama Raihan adalah berdasarkan projek sahaja. Saya bebas menolak atau menerima sebarang tawaran membuat persembahan bersama mereka. 

“Dalam erti kata lain saya tidak terikat dengan kumpulan Raihan. Jadi sekarang saya rasmi menganggotai kumpulan A.N.A The Rayhan. 

“Jadi tidak benar jika ada yang beranggapan hubungan saya denhan Che Amran dan Abu Bakar dingin. Kami okey sahaja, tiada isu,” kongsinya. 

Amran berkata dia mengambil keputusan memperlahankan pembabitan bersama Raihan  bermula 2010 selepas kehilangan bapa mertuanya. 

Katanya keputusan itu dibuat demi menjaga nenek dan ibu mertua di kampung. 

“Sebenarnya ketika itu saya sudah mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi. Kebetulan kontrak bersama Raihan juga tamat. Jadi perancangan saya masa itu adalah menetap di kampung halaman dan membuka perniagaan. 

“Pada 2013, pengurus Raihan hubungi saya mengajak saya kembali bersama Raihan. Saya tidak dapat memberikan kata putus kerana perlu mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat keputusan. Saya pula pada masa itu agak keberatan untuk kembali menyanyi disebabkan diuji masalah kesihatan. 

“Namun mengenangkan keadaan Raihan yang kekurangan penyanyi saya tergerak hati untuk bersetuju kembali bersama Raihan dengan syarat saya diberi kebebasan untuk menolak sekiranya tidak berkelapangan untuk menyertai mereka membuat persembahan.

“Dari situlah wujudnya kesepakatan yang pembabitan bersama Raihan berdasarkan projek sahaja. Saya tidak terikat. Dan sebab itu tiada kekangan untuk saya menyertai A.N.A The Rayhan sebagai anggota rasmi,” jelasnya. 

PERJUANGAN BELUM SELESAI

Berlumba-lumba penganjur mendapatkan Nazrey, Afad dan Amran sebaik sahaja ketiga-tiga mereka tampil membentuk A.N.A The Rayhan yang sudah pun muncul dengan satu lagu Ramadan selain dua single hari raya Aidilfitri.

Antara lima penganjur acara, kumpulan itu sebulat suara memilih Bintang Batu Event sebagai pengelola konsert sulung mereka yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Julai ini. 

“Kami sebenarnya tidak pernah terfikir untuk mengadakan konsert kerana niat kami hanyalah untuk meneruskan perjuangan dan usaha dakwah menerusi platform nasyid.

“Tapi kami tak mampu menolak apabila Bintang Batu Event menyuarakan hasrat mereka mengadakan konsert untuk kami kerana mereka satu-satunya penganjur yang tidak mempersoalkan keanggotaan kumpulan ini yang hanya bertiga berbanding penganjur lain yang tetap mahukan konsert ini lengkap berlima.

“Jadi kami amat berterima kasih kepada penganjur kerana memberi kepercayaan dan yakin terhadap kami. 

“Untuk peminat yang menantikan selama 20 tahun, konsert ini adalah salah satu usaha selepas kelahiran semula menerusi A.N.A The Rayhan. Ia juga memberi bayangan kepada konsert yang lebih besar di masa akan datang,” kata Nazrey.

Nazrey dalam masa yang sama juga mengakui turut menyimpan hasrat untuk melihat dua rakannya, Che Amran dan Abu Bakar bersatu dalam menghidupkan semula Raihan seperti zaman kegemilangan mereka lebih dua dekad lalu. 

“Saya bersyukur kerana Allah mengizinkan saya bergabung semula dengan Afad dan Amran sebagai sebuah kumpulan. Alhamdulillah kemunculan kami menerusi A.N.A The Rayhan juga mendapat sokongan rakan industri. 

“Ini adalah hasrat saya sejak lama. Sebelum tutup mata, saya ingin perjuangan ini diteruskan bersama anggota Raihan yang masih ada. Termasuklah bersam Che Amran dan Abu Bakar.

“Saya sentiasa mengalu-alukan mereka, tapi semua ini adalah atas keizinan Allah. Kami cuma mampu berdoa dan berserah. Jika Allah tidak izinkan, maka kami merasakan memadai juga perjuangan ini diteruskan secara bertiga,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN