KUALA LUMPUR: Lebih 1,500 peminat setia atau ReVeluvs membanjiri Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu bagi menyaksikan konsert solo pertama Joy menerusi 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) yang penuh dengan momen manis, emosional dan tidak kurang juga penuh kejutan.
Kehadiran anggota kumpulan popular Red Velvet itu bukan sekadar untuk menghiburkan peminat, malah menjadi ruang istimewa buat Joy mendekati ReVeluvs secara lebih dekat selepas sekian lama menantikan pertemuan tersebut.
Membuka tirai persembahan dengan lagu Hello, Joy tampil memukau dengan vokal yang mantap dan aura pentas yang mempesona, sekali gus membuktikan mengapa namanya terus kekal relevan dalam industri hiburan Korea Selatan.
Suasana di Zepp Kuala Lumpur terus hangat dengan rangkaian lagu seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu, sebelum Joy membawa peminat menyelami emosi menerusi beberapa runut bunyi drama Korea terkenal termasuk Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.
Pemilihan lagu yang dekat di hati peminat serta persembahan penuh tenaga membuatkan malam tersebut terasa begitu istimewa, lebih-lebih lagi apabila Joy atau nama sebenarnya Park Soo-young berkali-kali meluahkan rasa rindunya kepada peminat Malaysia.
“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” katanya yang disambut sorakan gemuruh para peminat.
Selain persembahan vokal yang memikat, Joy turut mengubat kerinduan peminat terhadap Red Velvet menerusi persembahan lagu-lagu hit seperti Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo yang diserikan dengan tarian bertenaga dan penuh karisma.

Antara momen paling menyentuh hati malam itu adalah apabila Joy membaca sepucuk surat daripada seorang peminat yang mengakui dirinya berjaya melalui masalah kebimbangan (anxiety) selepas mengenali dan menikmati karya seni penyanyi tersebut.
“Karya anda membuat saya rasa selamat dan menyentuh hati,” tulis peminat itu, sekali gus mengundang sorakan dan emosi yang sukar disembunyikan dalam kalangan ReVeluvs.
Segmen interaktif juga menjadi antara bahagian paling dinantikan apabila Joy mempersembahkan lagu Ice Cream Cake secara akapela bersama peminat, mencipta kolaborasi spontan yang cukup istimewa.
Tidak terhenti di situ, malam JOY SPLASH terus dihiasi dengan lagu-lagu seperti Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green yang melengkapkan pengalaman konsert penuh warna tersebut.
Joy turut meluangkan masa berinteraksi secara santai bersama peminat menerusi sesi berbalas pesanan kasih sayang serta permainan teka lukisan, membuktikan dirinya bukan sekadar penyanyi, tetapi seorang idola yang benar-benar menghargai hubungan dua hala bersama peminat.
“Saya sangat gembira hari ini, terima kasih banyak. Melihat anda semua berkongsi momen manis dan menikmati JOY SPLASH membuatkan saya rasa keputusan mengadakan siri jelajah ini adalah sesuatu yang tepat,” ujarnya.

Ucapan itu kemudian menutup malam penuh magis tersebut menerusi segmen encore dengan lagu-lagu popular Red Velvet seperti Zimzalabim, You Better Know dan sekali lagi Hello yang dinyanyikan bersama-sama peminat.
Sementara itu, bagi seorang daripada peminat, Wani, 30, Joy merupakan ‘cinta pertama’ dalam dunia K-pop yang sukar diganti.
“Saya jatuh cinta dengan suaranya,” katanya sambil memberitahu dia mula mengenali Joy menerusi program realiti We Got Married.
Seorang lagi peminat pula menyifatkan Joy sebagai seorang artis yang bukan sahaja memiliki bakat besar, malah mempunyai personaliti yang sangat menyenangkan.
Sebelum JOY SPLASH, anggota Red Velvet lain juga pernah hadir menghiburkan peminat di Malaysia sepanjang tahun lalu.
Pada September, Irene dan Seulgi menjayakan BALANCE World Tour di Mega Star Arena, manakala pada Disember, Wendy pula mengadakan jelajah W: EALIVE di Zepp Kuala Lumpur.
Kedua-dua persembahan tersebut turut meninggalkan kenangan manis buat ReVeluvs dan menguatkan lagi harapan peminat untuk melihat Red Velvet kembali bersatu sebagai sebuah kumpulan selepas masing-masing selesai dengan aktiviti solo serta siri jelajah mereka.










