KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin dijangka memfailkan semula permohonan bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isterinya, Nur Fazura, susulan dakwaan pelanggaran hak lawatan anak mereka.
Perkara itu disahkan peguam mewakili Fattah, Akberdin Abdul Kader, yang memaklumkan permohonan terdahulu ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 31 Mac lalu kerana perlu diperincikan semula.
Menurut beliau, Hakim Syarie, Salehan Yatim, meminta pihak Fattah memperjelaskan beberapa perkara sebelum permohonan baharu difailkan secara ex parte berhubung dakwaan pelanggaran perintah mahkamah berkaitan hak lawatan anak mereka, Nur Fatima Aisya, 6.
“Fazura didakwa melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, termasuk tidak menunaikan janji memberi hak lawatan dengan alasan berada di London.
“Sejak perceraian, Fattah berdepan kesukaran untuk bertemu anaknya, namun masih bersabar walaupun sering diberikan pelbagai alasan,” katanya.
Tambah Akberdin, selepas beberapa kali bertolak ansur, anak guamnya terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan perjanjian yang dipersetujui sebelum ini dipatuhi.
Beliau menjelaskan, penolakan permohonan terdahulu bukan bersifat muktamad, sebaliknya mahkamah hanya meminta penjelasan lanjut sebelum permohonan baharu dikemukakan.
Menurutnya lagi, walaupun hak penjagaan penuh diberikan kepada Fazura, Fattah tetap mempunyai hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu.
Namun, hak tersebut didakwa sering dihalang dengan pelbagai alasan, sekali gus mendorong Fattah mengambil langkah undang-undang bagi menuntut haknya sebagai bapa.
“Permohonan baharu akan difailkan dalam masa terdekat. Fattah sudah cukup bertolak ansur dan kini mahu mahkamah menentukan perkara terbaik.
“Hak lawatan yang diputuskan mahkamah perlu dipatuhi. Jika tidak, tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.
Sebelum ini, Fattah gagal memperoleh kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Fazura di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 31 Mac lalu.
Peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili Fazura mengesahkan perkara itu dan memaklumkan permohonan dibuat secara ex parte atas dakwaan melanggar perintah mahkamah.
Prosiding komital berkenaan boleh membawa hukuman penjara sekiranya pelanggaran perintah mahkamah dibuktikan.
Untuk rekod, pasangan selebriti itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Mereka berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan.









