Bimbang undang rasa kurang selesa, Azza Elite rela tidak hadiri rumah terbuka demi anak - Utusan Malaysia

Bimbang undang rasa kurang selesa, Azza Elite rela tidak hadiri rumah terbuka demi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Demi menjaga keselesaan dan kesejahteraan anak istimewa, Adam, pelakon dan penyanyi, Azza rela tidak menghadiri sebarang jemputan rumah terbuka.

Menurut Azza, dia bimbang kehadirannya sekeluarga akan menimbulkan rasa kurang selesa terhadap tetamu lain apatah lagi anaknya menghidap autisme.

“Jika ada rumah terbuka yang diadakan di rumah, saya minta maaf kerana tidak dapat hadir. Saya risau kehadiran saya dan Adam akan menimbulkan rasa kurang selesa kerana Adam mempunyai autisme. Bimbang nanti dia akan bermain atau menyentuh barang orang.

“Jadi, saya memang mengambil keputusan untuk tidak menghadiri mana-mana rumah terbuka yang diadakan di dalam rumah. Kalau acara dibuat di luar atau di bawah khemah, tidak mengapa kerana saya tahu Adam boleh berkelakuan baik.

“Namun, dia masih kanak-kanak dan mempunyai autisme. Kalau nampak permainan, mungkin dia akan mengambilnya, dan saya bimbang situasi itu akan menimbulkan masalah. Lebih baik saya tidak hadir. Saya juga tidak mahu jika ada orang yang kurang senang atau memarahi anak saya,” kongsinya di Threads.

Sedar tidak semua individu mempunyai empati terhadap kanak-kanak istimewa, anggota kumpulan Elite itu mengakui dirinya lebih selesa untuk berada di rumah dari perlu berdepan dengan sebarang perkara yang tidak diingini.

“Saya memang cepat terperanjat. Jadi sebelum saya terkejut atau berlaku perkara yang tidak diingini, lebih baik saya tidak membawa anak saya atau memang tidak pergi langsung.

“Kalau hendak pergi sendiri pun, saya tidak sanggup berjalan seorang diri. Jadi lebih baik saya duduk di rumah sahaja. Saya seorang ibu yang sangat melindungi anak,” ujarnya.

Menerusi perkongsian tersebut, Azza turut mendedahkan dirinya pernah berdepan dengan situasi yang membuatkan dirinya serik untuk membawa anaknya ke rumah orang.

“Saya sudah bahagia dengan duduk di rumah atau makan malam santai di mana-mana tempat. Ini kerana apabila di luar, Adam berkelakuan baik. Dia juga berada pada tahap autisme ringan (level 2). Malah, jika saya membawanya ke hotel, dia juga okay.

“Cuma apabila berada di rumah orang, saya agak paranoid. Ada satu pengalaman yang benar-benar menyentuh perasaan saya, sebab itu saya memilih untuk tidak lagi membawa anak saya ke rumah orang,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN