KUALA LUMPUR: Anak kepada pelakon Norish Karman iaitu Nur Hanyz Amanda atau dikenali sebagai Manda mendedahkan kehidupannya sekeluarga amat mencabar sejak ibunya itu jatuh sakit.
Menurut Manda, dia terpaksa memikul tanggungjawab besar menjaga ibunya selain menguruskan adik-adik dan keperluan harian keluarga tanpa bantuan kewangan yang mencukupi.
“Kami menghadapi kesukaran dalam kehidupan dan ia sangat mencabar. Apabila saya ingin meminta bantuan untuk membayar bil perubatan bonda, semua orang berkata, ‘Mintalah dengan bapa awak. Siapa suruh mak awak menjaga terlalu ramai anak angkat?’
“Saya juga cuba sedaya upaya untuk menguruskan semuanya, berulang-alik antara hospital dan rumah, menjaga bonda serta menyediakan makanan untuk adik-adik. Bonda tidak boleh ke tandas seorang diri kerana tidak boleh berdiri lama dan pernah beberapa kali tergelincir serta jatuh di dalam bilik air,”jelasnya.
Manda berkata demikian di sesi siaran langsung Tiktok selebriti dan usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.
Mengulas tanggapan segelintir pihak yang mempersoalkan dirinya tidak bekerja, Manda mengakui, dia pernah dihina disebabkan perkara itu.
“Saya masih ingat, ketika saya ingin meminjam wang, ada yang menghina dengan berkata, ‘Kenapa kau tidak pergi kerja?’ Namun, kerja saya ialah menjaga bonda. Jika saya tiada di sisinya dan sesuatu berlaku seperti dia terjatuh, bagaimana pula?” ujarnya.
Dalam masa sama, Manda turut menafikan dakwaan bahawa dia boleh mendapatkan bantuan daripada bapanya,Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.
“Bapa saya juga sudah tiada wang. Tolong jangan suruh saya meminta daripadanya kerana dia memang tidak mampu membantu kami.
“Jangan mengatakan bapa saya seorang Datuk. Bekas suami ibu saya yang bergelar Datuk itu juga tidak perlu disebut lagi. Dia memang sudah tiada wang dan tidak dapat membantu kami, malah dia juga sedang uzur,”katanya.
Dalam pada itu, Manda berkata, peluang pekerjaan selama dua jam bersiaran langsung di Tiktok Aliff Syukri semalam sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga.
“Dengan gaji RM20,000 yang diberikan Aliff Syukri, saya ingin membaiki kereta supaya adik-adik dapat ke sekolah, membayar tunggakan bil elektrik serta membeli suplemen dan ubat-ubatan bonda. Itu yang utama.
“Kalau diikutkan, perbelanjaan bulanan ubat-ubatan bonda mencecah sekurang-kurangnya RM3,000. Saya juga ingin membelikan kasut baharu untuk adik-adik ke sekolah,”katanya.
Berkongsi mengenai kepayahan hidup, kata Manda, kehidupan mereka sekeluarga sangat sederhana dan serba kekurangan.
“Apabila tiada wang, kami tidak keluar berjalan. Tiada duit untuk isi minyak, kereta pula rosak dan kami tidak makan di luar. Kami makan nasi dengan telur dan kicap bersama-sama, solat bersama-sama dan mengemas rumah bersama-sama. Tetap bahagia.
“Rumah kami juga tidak mempunyai televisyen dan sofa, sebab itulah gambar raya kami diambil dalam keadaan berdiri kerana tiada sofa untuk duduk. Kami juga tidak mempunyai katil di rumah,”ujarnya.
Sementara itu, mengenai tahap kesihatan ibunya, Manda berkata penyakit yang dialami semakin memberi kesan kepada kehidupan harian.
“Pada asalnya bonda menghidap busung. Selepas sembuh, kesan sampingan menyebabkan dia menghidap adenomyosis. Apabila datang haid, darah terlalu banyak sehingga dia perlu menukar pakaian antara tujuh hingga sepuluh kali sehari,”katanya.
Dalam pada itu, Manda meluahkan rasa syukur atas keprihatinan yang diterima, meskipun berdepan pelbagai tuduhan tidak berasas.
Terdahulu, Aliff Syukri menghulurkan sumbangan berbentuk gaji berjumlah RM20,000 kepada Norish dan lapan anak-anaknya hasil melakukan jualan siaran langsung selama dua jam di Tiktoknya semalam.
Difahamkan, tindakan Aliff Syukri itu adalah sebagai sebahagian usaha dia dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid untuk membantu Norish dan anak-anaknya.










