PETALING JAYA: Pelakon, Norish Karman dikhabarkan sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan susulan tahap kesihatannya merudum dan berisiko tinggi.
Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Manda menerusi sebuah perkongsian di Threads milik Norish, semalam
Difahamkan, hasil laporan perubatan bacaan haemoglobin dan zat besi dalam badan pelakon itu kini berada pada paras bahaya.
“Keadaan Norish Karman dalam keadaan amat kritikal, berisiko tinggi. Melihat daripada laporan perubatan, bacaan haemoglobin berada pada tahap sangat rendah iaitu 3.0 dan bacaan zat besi dalam badan berada pada tahap paling rendah dan berbahaya iaitu 1.5.
“Untuk mengelakkan dia rebah ketika berjalan, dia kini lebih banyak duduk di atas kerusi roda agar tidak terlalu menggunakan jantung untuk bergerak,” katanya dalam sebuah laman sesawang kutipan sumbangan.
Dalam masa sama, pelakon itu dimaklumkan perlu menjalani rawatan dengan segera susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
“Oleh itu, dia sangat perlu menjalani pemindahan darah dan transfusi zat besi dengan segera agar keadaan tidak menjadi lebih bahaya kerana badan yang sangat rendah antibodi mudah untuk dijangkiti pelbagai penyakit.
“Ketika ini, dia mengalami batuk yang teruk sehingga muntah serta sakit pada saraf di bahagian kepala sebelah kiri, dan jari-jari yang sudah bertukar menjadi putih,” ujarnya.
Semalam, Manda menerusi sebuah hantaran di Threads berkongsi foto ibunya terlantar di sebuah pusat perubatan selain memaklumkan kondisi kesihatan pelakon itu.
Selain memohon doa orang ramai, anak kepada pelakon itu juga meminta untuk menyalurkan sumbangan bagi menampung kos perubatan ibunya.
Setakat ini, jumlah kutipan bantuan perubatan kecemasan untuk pelakon itu berjaya terkumlah sebanyak RM841.










