5 wajah menentang maut - Utusan Malaysia

5 wajah menentang maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM aksi Hollywood memang sangat gila, baik daripada babak terjun bangunan, berlawan dalam kereta api atau kejar-mengejar atas motor semuanya ada. Daripada segi etika dan profesionalisme, sudah tentu semua adegan berbahaya ini dilakonkan oleh pelakon lagak ngeri atau ‘stuntman’ yang sudah terlatih bagi mengelak kecederaan di set penggambaran.

Namun begitu, ada juga beberapa pelakon Hollywood yang sanggup mengambil risiko dan melakukan sendiri sebahagian aksi mereka. Ada yang menjalani latihan fizikal berbulan-bulan, malah ada yang sanggup melakukan aksi ekstrem demi memastikan babak dalam filem kelihatan lebih realistik. Boleh dikatakan, lima pelakon Hollywood ini wajah menentang maut, tidak gentar dengan segala risiko yang bakal menanti asalkan mereka puas dengan lakonan sendiri.

Harrison Ford

Jangan tidak tahu, pelakon popular francais Indiana Jones ini juga boleh tahan hebat lakukan aksi sendiri. Jika mahu dikenang semula, antara aksi beliau yang ikonik adalah berlari bagi mengelak daripada dihempap batu gergasi yang sedang bergolek. Ford melakukan itu tanpa bantuan stuntman. Walaupun usianya sudah mencecah 80-an, namun dia masih bersemangat lakukan aksi sendiri dalam filem Indiana Jones and the Dial of Destiny pada 2023. Namun beliau mengalami kecederaan bahu semasa penggam­baran.

Michelle Yeoh

Malaysia boleh! Slogan itu sangat kena dengan pelakon asal Ipoh, Malaysia ini yang beberapa kali juga buat aksi tanpa guna stuntman. Aksi Yeoh yang paling ikonik adalah melompat dari atas motor ke atas kereta api yang sedang bergerak dalam filem Supercop yang terbit pada 1992. Antara filem lain yang menunjukkan sisi kehebatan aksi beliau adalah Yes Madam, Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Jackie Chan

Bukanlah pelakon kelahiran Amerika Syarikat. Namun nama Jackie Chan sudah menjadi bintang besar di Hollywood kerana kehebatannya melakukan aksi sendiri dalam filem Police Story, Drunken Master dan Rush Hour. Chan pernah terjun bangunan, berlawan tanpa pelapik keselamatan dan bermacam lagi. Beliau pernah alami kecederaan seperti patah tulang dan cedera di kepala.

Tom Cruise

Kalau tidak letak nama beliau dalam senarai, mesti peminatnya akan ‘naik hantu’. Tom Cruise memang tidak boleh dinafikan lagi kekuatannya melakukan aksi berbahaya di Hollywood terutama dalam filem Mission: Impossible. Kalau diimbas, antara aksi gila yang dilakukan beliau termasuk panjat Burj Khalifa, bergayut atas pesawat Airbus A400M, bawa motor tepi tebing. Beliau juga buat latihan intensif untuk pastikan dirinya melakukan aksi dengan selamat.

Keanu Reeves

Selain Tom Cruise, Keanu Reeves tidak kurang hebatnya terutama aksinya dalam filem francais John Wick dan The Matrix di mana kesemua aksinya dilakukan sendiri. Dalam satu temu ramah Keanu mengakui dia sengaja buat sendiri aksi dalam filem tersebut agar nampak lebih realistik. Oleh sebab itu, Keanu disiplin melakukan latihan termasuk sesi menembak, latihan seni mempertahankan diri dan seni bertarung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN