KUALA LUMPUR: Peminat muzik berunsur retro dan jazz-pop bakal disajikan dengan sebuah pengalaman luar biasa apabila konsert Senandung Ria Di Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 10 Mei ini di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert anjuran ZS Entertainment dengan kerjasama LampuNeon Entertainment itu menghimpunkan dua nama besar dari Indonesia, iaitu White Shoes & The Couples Company dan NonaRia dalam satu malam eksklusif.
Konsert berkenaan dibina sebagai sebuah pengalaman muzikal sinematik yang menampilkan elemen nostalgia, keceriaan serta romantika bandar, sekali gus membawa penonton mengimbau suasana klasik yang penuh emosi dan estetika.
Menurut penganjur, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi hiburan, malah membuka ruang kepada penonton untuk menikmati detik-detik kecil dalam kehidupan melalui muzik.
“Tema utama konsert ini adalah nostalgia, keceriaan dan romantika bandar yang mengangkat keindahan muzik retro dan jazz-pop ringan. Kami mahu penonton merasai pengalaman seolah-olah kembali ke era klasik yang penuh warna,” jelas mereka.
Tambah penganjur, konsert itu juga bertujuan memberi peluang kepada penonton untuk “memperlahankan tempo kehidupan moden” dan menghargai setiap melodi serta lirik yang dipersembahkan.
White Shoes & The Couples Company dikenali dengan susunan muzik sinematik yang sofistikated, manakala NonaRia pula menampilkan gaya ceria, feminin dan bersahaja yang dekat dengan pendengar.
“Kedua-dua kumpulan ini berkongsi DNA muzik yang seiring, menjadikan gabungan ini jarang dipersembahkan dan amat istimewa,” kata penganjur.
Selain itu, keupayaan kedua-dua kumpulan mencipta suasana persembahan yang intim walaupun di pentas besar dijangka menjadi antara kekuatan utama konsert tersebut.
Konsert ini turut dianggap sebagai antara penampilan paling signifikan kedua-dua kumpulan di Malaysia apabila ia menampilkan produksi penuh dengan pelbagai elemen eksklusif.
Antara yang dijanjikan termasuk susunan muzik khas untuk Kuala Lumpur, visual berkonsepkan retro-sinematik, aliran persembahan berunsur penceritaan serta kemungkinan kolaborasi spontan di atas pentas.
“Setiap susunan muzik, visual dan detik persembahan telah dirancang dengan teliti bagi memastikan pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan,” jelas penganjur.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert dilihat bertepatan dengan konsep yang dibawa, memandangkan ia menawarkan keseimbangan antara skala besar dan suasana intim.
Selain itu, kemudahan teknikal serta sistem akustik yang mantap di lokasi tersebut diyakini mampu memberikan pengalaman audio-visual yang menyeluruh kepada penonton.
White Shoes & The Couples Company menyatakan keterujaan mereka untuk kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu peminat tempatan.
“Kami sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berharap penonton dapat menikmati setiap detik konsert ini bersama kami,” kata kumpulan itu.
Sementara itu, NonaRia turut tidak sabar untuk mencipta kenangan indah bersama peminat Malaysia.
“Kami ingin berkongsi pentas dan menghadirkan malam yang penuh keceriaan serta kehangatan,” ujar mereka.
Konsert Senandung Ria Di Kuala Lumpur menawarkan beberapa kategori tiket kepada peminat bermula daripada harga RM200 sehingga RM450.
Maklumat lanjut mengenai saluran penjualan tiket dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.











