Wayang: Nostalgia berebut kerusi, panggung terbakar - Utusan Malaysia

Wayang: Nostalgia berebut kerusi, panggung terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK hanya tentang ketupat, rendang, pelita dan bunga api namun raya juga adalah tentang panggung wayang. Mengimbau kembali nostalgia raya sebelum kemunculan digital, pawagam menjadi pusat perhatian dan lokasi penting untuk dikunjungi sama seperti rumah sanak saudara.

Bagi dua figura besar perfileman negara, Aziz M. Osman dan Prof. Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen, panggung wayang dan hari raya saling terikat bukan hanya buat penonton tetapi juga kepada penggiat filem.

Bagi pengarah Aziz M. Osman, beliau masih ingat lagi rutin hari rayanya yang akan meronda sekitar Chow Kit hingga ke Jalan Pudu, berpindah dari satu pawagam ke pawagam lain untuk menonton sebanyak mungkin filem baik naskhah tempatan, berbeza bahasa hinggalah cerita Kung Fu luar negara yang ketika itu mendapat perhatian.

“Dulu mana ada telefon bimbit atau tablet. Kalau mahu telefon kawan pun kena beratur dekat telefon awam. Kemudian kalau hendak jumpa kawan-kawan, sama ada ke taman atau pergi wayang.

Saya ini memang kaki wayang tegar. Semua filem saya tonton, tidak kira Melayu, Cina atau India,” ujarnya kepada Pancaindera.

Bercerita mengenai keunikan zaman itu, menurut Aziz semuanya berbeza termasuklah kepada sistem pembelian tiketnya. Tiada istilah ‘online booking’ atau mesin layan diri seperti hari ini yang sangat mudah. Dahulu, segalanya dilakukan secara manual dan adakalanya bergantung kepada ‘mood’ penjaga kaunter yang biasanya dipanggil ‘Apek’.

Apek tidak hanya bertugas menjual tiket tetapi juga menguruskan tempat duduk di dalam panggung, kalau hari itu ‘mood’ Apek tidak baik, kita akan tercampak duduk di kerusi yang dibenci.

“Tiket wayang dahulu memang murah, tapi keselesaannya tidaklah seperti sekarang. Kita kena pergi beberapa jam lebih awal semata-mata mahu beratur beli tiket dan ‘cop’ tempat duduk.

“Apek akan isi macam borang dan nombor tempat duduk kita. Kalau hari itu dia bergaduh, mood tidak baik, dia main letak saja kita duduk mana. Tapi tak boleh hendak cakap apa, sabar saja asalkan dapat masuk tengok wayang,” katanya ketawa.

Bagaimanapun, kehangatan panggung wayang akan mencapai kemuncaknya apabila filem blokbuster antarabangsa ditayangkan seperti fenomena Star Wars memaksa penonton untuk berebut dan menempah tiket dua minggu lebih awal.

Sekitar 70-an, filem tempatan yang menerima impak sebegitu adalah filem-filem lakonan A.R. Badul yang dianggap jejaka pada era itu dengan filem komedinya seperti Si Badol, Tuan Badul dan Panglima Badul.

“Dia boleh dikatakan ‘hero’ paling laku zaman itu. Kalau dia berlakon, orang hendak tengok sama juga macam Zizan. Cuma bezanya tak ada filem yang guna nama Zizan sebagai tajuk. Kalau filem Badul keluar, barisan panjang hendak beli tiket sudah jadi pemandangan biasa,”katanya.

Transisi Aziz daripada seorang penonton tegar kepada pengarah tersohor pada era 90-an membawa perspektif berbeza. Beliau mula merasai debaran apabila karyanya sendiri, Femina dan Fantasi, ditayangkan serentak pada musim perayaan.

Menariknya, filem Fantasi menjadi bualan hangat bukan sahaja kerana kualitinya, tetapi kerana kontroversi yang melanda sehingga judul asalnya, Fantasia, terpaksa ditukar dan tayangannya tertangguh selama empat tahun.

“Bila filem itu akhirnya keluar, orang berpusu-pusu. Sebagai pengarah, saya juga akan beli tiket dan duduk paling depan. Bila filem sudah tayang, saya akan toleh ke belakang untuk tengok reaksi penonton,” ceritanya.

Namun, Aziz mengakui situasi pembikinan filem raya berubah selepas penubuhan Finas yang membuatkan para pembikin berebut tarikh untuk menayangkan filem semasa hari raya kerana kuasa beli yang tinggi.

“Sebab itu, kadangkala ada cerita hantu yang keluar waktu raya walaupun tidak berapa sesuai. Tapi bagi saya, filem komedi tetap juara. Macam Lagi Lagi Senario, itu memang rezeki besar buat saya bila ia pecah panggung waktu raya pada 2001.

“Waktu itu filem komedi tersebut kutip lebih empat juta, pada zaman itu, angka tersebut sudah sangat besar. Memang untung nasib ketika itu,” tambahnya.

Senada dengan Aziz, Prof. Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen turut mengakui bahawa slot hari raya adalah ‘lubuk emas’ bagi para pengeluar filem. Baginya, pulangan pada musim perayaan selalunya amat memberangsangkan.

“Zaman dahulu tiket sekitar RM8 sahaja. Walaupun nampak murah, tapi volume penonton yang datang itulah yang membuatkan kita sebagai pembikin rasa berbaloi,” kata Razak.

Mengimbas kejayaan luar biasa filem Mami Jarum, Razak menceritakan bagaimana filem yang ditayangkan pada hari raya ketiga itu mencetuskan fenomena luar biasa, terutamanya di utara tanah air.

“Panggung ketika itu boleh memuatkan sehingga 1,000 penonton dalam satu-satu masa. Bayangkan betapa penuhnya suasana itu dengan gelak tawa orang ramai,” ujarnya penuh semangat.

Malah, Razak berkongsi satu kisah apabila dia dimaklumkan terdapat sebuah panggung wayang di Kedah yang terbakar kerana mengalami kerosakan teknikal akibat kekerapan tayangan filem Mami Jarum yang tidak henti-henti.

“Orang terlalu ramai, mesin projektor berpusing tanpa henti. Itulah penangan filem raya zaman itu,” katanya yang menyifatkan memori tersebut sebagai satu pencapaian peribadi.

Menurut Razak, kelebihan filem-filem era tersebut adalah pada kos pembikinannya yang rendah, biasanya di bawah RM1 juta, namun mampu menyentuh hati penonton menerusi genre romantik dan kekeluargaan.

Kini, walaupun zaman sudah berubah dengan teknologi IMAX dan bunyi Dolby Atmos, roh ‘wayang beraya’ tetap sama. Ia adalah tentang kebersamaan dan kegembiraan sebuah keluarga atau sekumpulan kawan dalam meraikan kemenangan Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN