TV AlHijrah gabung TV dan digital, perluas dakwah Ramadan - Utusan Malaysia

TV AlHijrah gabung TV dan digital, perluas dakwah Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam negara dengan memperkenalkan rangkaian program khas sempena Ramadan dan Syawal 1447H/2026M yang lebih komprehensif, seimbang serta berteraskan nilai keimanan dan ihsan.

Mengangkat tema Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan, stesen itu menyusun kandungan bukan sahaja untuk mengimarahkan ibadah sepanjang Ramadan, malah memperkukuh institusi keluarga, menyemai keprihatinan sosial serta menyatukan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Lebih 20 program khas merangkumi ratusan jam siaran disediakan sepanjang Ramadan dan Syawal, menjadikan TV AlHijrah antara platform penyiaran Islam paling menyeluruh pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, perancangan kandungan dilakukan lebih awal melalui analisis menyeluruh bagi memastikan setiap program kekal relevan dan segar.

“Setiap tahun kita tampilkan kelainan. Analisis dibuat sejurus Ramadan berakhir untuk menilai program yang berkesan dan menambah baik kandungan yang kurang memberi impak.

“Corak tontonan Ramadan berbeza, jadi strategi penyiaran juga perlu disesuaikan dengan keperluan audiens,” katanya.

Menurut beliau, kandungan Ramadan disusun mengikut rutin harian umat Islam bermula dari waktu sahur hingga malam dengan pengisian rohani berteraskan al-Quran dan hadis.

Antara program teras ialah Islah Ramadan, Tadarus On The Go dan Quran Challenge yang memberi penekanan kepada penghayatan al-Quran, selain Malam Seribu Bulan dan Jalan Taubat bagi memperkukuh amalan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.

Siaran khas Khatam Ramadan turut diteruskan sebagai simbol penyatuan ummah melalui bacaan al-Quran secara langsung selama 12 jam.

Elemen dakwah dan kebajikan diserlahkan menerusi program seperti Assalamualaikum Sahur dan Assalamualaikum Asar, selain inisiatif Hijrah Prihatin Bubur Lambuk serta program berjenama Ehsan yang menekankan tanggungjawab membantu golongan memerlukan.

Selain itu, elemen penceritaan diperkaya melalui rancangan seperti Ini Kisahku, Peristiwa Penghuni Neraka dan drama bersiri Luka Dalam Rindu yang mengangkat tema keinsafan serta kekeluargaan.

Program santai seperti Dapur Nenek pula mengetengahkan warisan masakan tradisional sebagai medium merapatkan hubungan keluarga.

Dalam pada itu, kerjasama bersama Rare TV menerusi Rare AlHijrah: Kembara Wahyu turut menampilkan kisah perjalanan Nabi Musa AS di Mesir.

Seiring perubahan landskap media, TV AlHijrah turut memperkenalkan platform digital Langit Dakwah yang memfokuskan kandungan eksklusif untuk media sosial.

“Kita melihat golongan muda kini lebih cenderung mendapatkan maklumat dakwah melalui platform digital.

“Langit Dakwah bukan sekadar potongan program televisyen, tetapi kandungan khas yang dibangunkan untuk Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube,” jelasnya.

Platform itu bakal menampilkan kandungan ringkas menerusi konsep Ramadan Quick Drop dengan durasi satu hingga tiga minit yang lebih mesra digital.

TV AlHijrah menyasarkan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus capaian keseluruhan merentasi platform televisyen dan digital tahun ini selepas mencatat kedudukan tiga teratas tontonan mingguan pada awal Ramadan lalu.

Setakat ini, aplikasi AlHijrah Plus merekodkan kira-kira 270,000 muat turun.

Namanzee menegaskan, pendekatan editorial stesen itu kekal berpegang kepada etika penyiaran serta nilai positif tanpa mengejar sensasi.

“Kita fokus kepada kandungan yang membina, menyebarkan nilai ihsan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Memasuki Syawal, tema diteruskan melalui pendekatan “Eratkan Kasih, Bertaut Sayang” dengan penekanan kepada penyatuan dan kemaafan.

Antara program yang disediakan ialah Salam Lebaran Raya, selain telefilem Menantu Datuk Nikah Kahwin dan Surat Dari Syurga yang mengangkat kisah kekeluargaan serta keinsafan.

Program Jom Dengar Cerita Raya pula mendidik kanak-kanak tentang adab berhari raya, manakala Ini Kisahku Raya menampilkan kisah masyarakat yang menyambut Syawal dalam keterbatasan.

Keseluruhan inisiatif ini menekankan kesinambungan Ramadan sebagai medan pembinaan iman dan Syawal sebagai ruang penyatuan serta pengukuhan kasih sayang.

TV AlHijrah turut mengajak umat Islam untuk bersama mengimarahkan siaran khas tersebut serta menjadikan Ramadan dan Syawal sebagai ruang memperkukuh iman dan membina masyarakat berilmu serta berakhlak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN