Timothee Chalamet dikecam, disindir di pentas Oscar 2026 - Utusan Malaysia

Timothee Chalamet dikecam, disindir di pentas Oscar 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pelakon Hollywood, Timothée Chalamet menjadi sasaran sindiran pada malam anugerah Academy Awards 2026 susulan kenyataannya sebelum ini yang dilihat memperlekehkan seni balet dan opera.

Walau bagaimanapun, pelakon berusia 30 tahun itu dilihat hanya tersenyum dan ketawa ketika beberapa gurauan mengenai dirinya dilontarkan sepanjang acara berlangsung.

Kontroversi tersebut tercetus selepas Chalamet ketika menghadiri satu sesi di University of Texas pada Februari lalu menyatakan beliau tidak mahu industri filem berada dalam kedudukan seperti balet atau opera yang dianggap semakin kurang mendapat perhatian masyarakat.

Menurutnya, dia tidak berminat untuk terlibat dalam bidang seni yang perlu sentiasa ‘dipelihara’ walaupun tidak lagi diminati oleh orang ramai.

Kenyataan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk penggiat seni dan peminat filem. Malah, ada yang berpendapat kontroversi itu boleh menjejaskan peluangnya untuk meraih trofi Oscar pertama.

Pada malam anugerah itu, pengacara majlis, Conan O’Brien, turut menyindir pelakon berkenaan menerusi monolog pembukaannya.

“Keselamatan malam ini sangat ketat. Saya dengar ada kebimbangan mengenai kemungkinan serangan daripada komuniti opera dan balet,” katanya berseloroh seperti dilaporkan oleh The Hollywood Reporter.

Sindiran tersebut disambut dengan gelak tawa hadirin termasuk Chalamet sendiri yang duduk bersama kekasihnya, Kylie Jenner.

Tidak terhenti di situ, penari balet terkenal, Misty Copeland, turut membuat kemunculan di pentas ketika persembahan lagu I Lied to You yang dicalonkan bagi kategori muzik terbaik untuk filem Sinners. Namun tidak dapat dipastikan sama ada kemunculan tersebut mempunyai kaitan dengan kenyataan Chalamet sebelum ini.

Sindiran turut berlanjutan apabila pengarah Alexandre Singh menerima anugerah Filem Pendek Aksi Langsung Terbaik menerusi karya Two People Exchanging Saliva.

Lebih mengecewakan, Chalamet turut pulang dengan tangan kosong pada malam tersebut apabila filem lakonannya, Marty Supreme, gagal memenangi sebarang anugerah.

Dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, beliau tewas kepada Michael B. Jordan yang memenangi anugerah menerusi filem Sinners, walaupun sebelum ini Chalamet meraih kemenangan di Golden Globe Awards 2026 dan Critics’ Choice Awards 2026.

Sementara itu, kategori Filem Terbaik dimenangi oleh One Battle After Another, sekali gus menewaskan Marty Supreme yang sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN