KUALA LUMPUR : Pelakon dan pempengaruh terkenal, Scha Alyahya, memilih untuk menyambut Aidilfitri tahun ini dalam suasana lebih sederhana dan berhati-hati demi kesejahteraan keluarga tercinta.
Menurut Scha, sambutan lebaran kali ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya yang kebiasaannya diisi dengan aktiviti kunjung-mengunjung bersama keluarga besar serta rakan-rakan.
“Kalau ikutkan kebiasaan, setiap kali raya saya, suami dan keluarga memang akan keluar beraya, ziarah sana sini dan luangkan masa bersama. Tetapi tahun ini saya rasa agak berisiko untuk terlalu banyak bergerak, jadi kami ambil keputusan untuk beraya di rumah sahaja.
“Kami juga tidak merancang untuk pulang ke kampung seperti selalu, walaupun sebenarnya rindu untuk berkumpul dengan saudara-mara,” katanya.
Tambah Scha, meskipun tidak dapat pulang ke kampung, hubungan kekeluargaan tetap menjadi keutamaan dan beliau tidak menolak kemungkinan untuk menziarahi saudara terdekat sekiranya keadaan mengizinkan.
“Memang ada yang bertanya kenapa tidak balik kampung, mungkin ada yang fikir ahli keluarga di sana tidak ramai, tetapi bagi saya mereka tetap saudara saya. Insya-Allah kalau ada peluang dan keadaan sesuai, saya akan cuba juga menjenguk mereka walaupun sekejap,” ujarnya.
Berkongsi mengenai persiapan raya, Scha berkata tumpuan utama diberikan kepada pemilihan pakaian anak-anak, khususnya dalam memastikan keselesaan menjadi keutamaan berbanding gaya semata-mata.
“Setiap kali raya, memang seronok nak sediakan baju untuk anak-anak, terutamanya anak perempuan. Biasanya kita suka kalau pakaian itu sedondon, tetapi sekarang saya cuba ubah sedikit cara fikir, tidak semestinya perlu terlalu matching. Apa yang penting, anak selesa.
“Anak saya agak memilih, dia tidak suka kain yang gatal, tidak suka lengan panjang dan tidak gemar pakaian yang ada renda atau hiasan tertentu. Jadi saya memang perlu cari baju yang betul-betul sesuai dengan kehendak dia, kemudian barulah padankan dengan kakaknya dan juga dengan saya.
“Setakat ini saya sediakan dalam tiga pasang sahaja dan itu pun sudah cukup. Tidak perlu terlalu banyak kerana akhirnya yang penting adalah keselesaan dan praktikaliti, bukan semata-mata hendak bergaya setiap hari,” katanya.
Mengulas mengenai pengalaman menempah baju raya, Scha berkata, dia pernah berbuat demikian sebelum ini, namun kini lebih cenderung memilih cara yang lebih ringkas.
“Saya pernah tempah baju raya, kalau tidak silap sekitar tahun 2021. Biasanya kalau tempah pun setahun sekali sahaja untuk raya, mungkin satu atau dua pasang. Saya tidaklah jenis yang akan tempah sampai banyak pasang kerana proses itu juga agak memenatkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Scha turut berkongsi perkara yang paling dinanti-nantikan setiap kali tibanya Syawal, iaitu peluang untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan silaturahim.
“Selepas sebulan berpuasa, kita memang akan rasa teruja nak sambut raya. Apa yang paling saya nantikan adalah peluang untuk berjumpa dengan saudara-mara dan kawan-kawan, terutama yang sudah lama tidak bertemu.
“Waktu itulah kita boleh berkumpul, berziarah dan meluangkan masa bersama tanpa banyak kekangan. Itu yang menjadikan raya sangat bermakna bagi saya,” katanya.










