KUALA LUMPUR : Pelawak, Mamat Sepah tampil menjelaskan perasaan sebenar terhadap bekas rakan seperjuangan, Jep Sepahtu meskipun hubungan mereka kini tidak lagi sehaluan.
Menerusi podcast Sementara Teman, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, 40, mengakui kurang selesa apabila nama Jep sering dikaitkan dengannya, atas dasar menghormati kenangan dan hubungan yang pernah terjalin suatu ketika dahulu.
Menurutnya, hubungan tersebut diibaratkan seperti kisah cinta yang telah berakhir dan tidak wajar diungkit berulang kali.
“Sehingga hari ini masih ada yang bercakap tentang Jep, saya sebenarnya tidak suka perkara itu. Bagi saya, dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya, seperti kekasih yang sudah berpisah.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya bercerita tentang seseorang yang pernah berada dalam hati kita,” katanya.
Dalam pada itu, Mamat turut menegaskan bahawa Shuib Sepahtu dan Jep kekal sebagai dua individu istimewa yang sentiasa bertempat di hatinya.
“Tentang Jep dan Shuib, mereka akan sentiasa ada dalam hati saya sampai bila-bila. Ruang itu tidak pernah saya buka untuk sesiapa pun.
“Kami pernah melalui zaman bujang bersama, bekerja di kilang dan susah senang bersama. Itu semua kenangan yang tidak boleh dilupakan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Mamat menegaskan beliau tidak mahu menunggang populariti dengan mengaitkan nama Jep bagi meraih perhatian umum.
“Saya tidak mahu membesar-besarkan nama Jep kerana tidak mahu dianggap ‘overclaim’ atau sekadar mahu meraih tontonan tinggi.
“Bukan itu niat saya. Namun, kalau bercakap soal kasih sayang, saya dan Shuib memang sayangkan dia,” katanya lagi.











