Cik Bunga hendak tanyalah sikit, betulkah sekarang ini lagi mahal baju raya,kononnya lagi tinggi darjat seseorang itu? Kalau ikut trend semasa, memang ramai sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu nampak ‘wow’ di pagi raya.
Tetapi lain pula ceritanya dengan pelakon kesayangan ramai, Nad Zainal. Baru-baru ni, Cik Bunga nampak perkongsian Nad yang terus mencuri perhatian warganet.
Bukan sebab fesyen yang melampau-lampau, bukan juga sebab jenama mahal beribu ringgit, tapi sebab misi raya dia tahun ini. Rupanya Nad tekad hendak cari baju raya yang harga marhaen, tapi masih cantik, selesa dan sesuai untuk dia sekeluarga. Bagusnya!
Siapa sangka ye tak? Dalam dunia selebriti yang penuh glamor, Nad pilih jalan sederhana. Memang lain daripada lain. Apa yang lagi buat ramai kagum, Nad tidak segan langsung berkongsi idea dan cadangan baju-baju mampu milik yang dia jumpa. Siap cakap, tidak perlu pun berbelanja besar semata-mata mahu nampak bergaya di hari raya. Yang penting, kena pandai pilih!
Cik Bunga tengok sendiri, ramai warganet yang tinggalkan komen puji sikap Nad ini. Baguslah itu, raya bukan hendak berlumba siapa pakai baju paling mahal, bukan?
Cik Bunga suka betul dengan prinsip Nad ini. Dia percaya tidak perlu membazir untuk kelihatan cantik. Lebih baik duit itu digunakan untuk perkara yang lebih penting contohnya untuk keluarga, anak-anak, atau simpanan masa depan.
Sebenarnya, dalam keadaan ekonomi sekarang ini, ramai sahaja yang tengah berkira-kira untuk berbelanja. Jadi, apabila ada figura seperti Nad yang tampil dengan pendekatan sederhana, memang ramai rasa dekat di hati.
Kalau Nad Zainal pun boleh nampak berseri dengan baju marhaen, kita ini kenapa pula hendak stress beli yang mahal-mahal, betul tak? Tetapi pokok pangkalnya tepuk dada tanya selera. Semuanya terpulang kepada poket sendiri.










